Monday 5 October 2015

SOALAN:

Bolehkah pembahagian sama banyak dibuat dengan paksaan?

FAKTA KES:
Satu malam saya dijemput berceramah di sebuah surau di ibu kota, Kuala Lumpur. Kuliah Maghrib. Tajuk diberi: Kecelaruan Dalam Pembahagian Harta Pusaka.  Selesai ceramah, sebelum mengundur diri, imam mohon untuk berbual dengan saya di sebuah warung.
Membuka cerita, imam berkata, “Ustaz, malam ni saya rasa saya tak boleh tidur”.
Mengapa? Tanya saya.
“Ustaz, tiga tahun lepas saya telah bahagi harta pusaka ayah saya. Kami 4 beradik sahaja. Dua lelaki dan 2 perempuan. Selaku anak sulung, saya cadangkan supaya semua harta peninggalan ayah di bahagikan sama rata. Maksud saya sama banyak antara kami 4 beradik. Malangnya adik saya yang lelaki tak setuju. Dia keras kepala. Dia tetap nak bahagian dia ikut faraid. Saya marahkan dia. Saya paksa dia. Saya ugut dia. Akhirnya dia setuju. Tapi selepas pembahagian selesai di Pejabat Pusaka, dia dendam kepada saya dan sejak itu kami tidak lagi bertegur sapa dan tidak ada lagi hubungan keluarga . Putus hubungan sampai hari ni”.
“Saya rasa amat bersalah. Penerangan ustaz tadi sungguh jelas. Saya tidak sepatutnya memaksa adik saya bersetuju dengan cadangan saya.  Apa yang patut saya buat ustaz?”.
Saya cuba tenangkan imam. “Tuan imam, perkara ni tak susah. Esok pergilah ke rumah adik dan minta maaf. Ceritakan kepadanya bahawa abang telah melakukan kesalahan kerana memaksa adik supaya bahagi sama rata. Kalau sekiranya adik minta supaya digantikan bahagiannya, abang kenalah ganti perbezaan sekiranya pembahagian dibuat mengikut faraid”.
Ya, bayangkan seorang abang sulung yang sudah tentu memiliki sifat egonya, hendak pergi berjumpa adiknya semata-mata untuk meminta maaf dan membayar ganti rugi. Sanggupkah imam berbuat demikian?
Keesokan harinya, pukul 10.00 pagi, imam pergi ke rumah adiknya. Beberapa kali salam yang diberi, tidak dijawab. Imam berkata, “Adik, abang datang nak mintak maaf. Abang salah”. Beberapa ketika adik membuka pintu dan dengan suara agak keras, “Nak apa?”
Dengan tenang imam menjawab, “Adik, malam tadi abang dengar ceramah ustaz di surau. Ustaz kata tak boleh paksa sesiapa untuk bahagi sama banyak lelaki dan perempuan. Abang paksa adik. Abang sudah buat salah. Abang datang untuk mintak maaf. Kalau adik mintak ganti rugi abang sanggup bayar”.
Sekonyong-konyong adik mendapatkan  abang dan memeluknya sambil berkata, “Abang, abang dah mengaku kesalahan abang. Abang dah minta maaf.  Saya maafkan abang. Saya halalkan semuanya. Abang tak perlu bayar ganti rugi”.  Abang, jemputlah masuk ke rumah, kita makan sama-sama”.
Sebulan berlalu, imam menelifon saya, “Terima kasih ustaz.

JAWAPAN
Asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid. Maknanya, sekiranya seorang mati dan meninggalkan 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan, dan meninggalkan harta bernilai RM60,000. Pada asalnya harta itu hendaklah dibahagikan seperti  berikut:

6
RM60,000
ANAK LELAKI
2
RM20,000
ANAK LELAKI
2
RM20,000
ANAK PEREMPUAN
1
RM10,000
ANAK PEREMPUAN
1
RM10,000

Bagaimana pun imam telah mencadangkan supaya dibahagikan sama banyak, bermakna  tiap seorang akan mewarisi sebanyak RM15,000.00 seperti rajah di bawah:


4
RM60,000
ANAK LELAKI
1
RM15,000
ANAK LELAKI
1
RM15,000
ANAK PEREMPUAN
1
RM15,000
ANAK PEREMPUAN
1
RM15,000

Ini bermakna bahagian anak lelaki akan menjadi kurang sebanyak RM5,000 tiap seorang. Kekurangan ini bermakna anak lelaki bersetuju memberikannya kepada anak perempuan sebanyak RM5,000.
Pembahagian seperti ini boleh dilakukan dengan syarat  persetujuan itu mestilah dibuat dengan sukarela, tanpa paksaan atau ugutan oleh mana-mana pihak walaupun oleh abang sulung. Sekiranya ada paksaan, bermakna seseorang itu dipaksa supaya memberikan sebahagian daripada haknya kepada orang lain. Hukumnya pemberiannya itu tidak sah dan tidak mengikut kehendak syarak.
Dalam kes yang disebutkan di atas, anak lelaki 2 pada mulanya tidak bersetuju dengan pembahagian sama banyak. Tetapi bersetuju akhirnya setelah dipaksa oleh abang sulungnya.  Perbuatan memaksa itu hukumnya berdosa dan pembahagian seperti itu tidak mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah swt.
Maka wajarlah sekiranya imam memohon maaf daripada adiknya dan bersedia untuk memberikan ganti rugi sekiranya diminta oleh adiknya bagi menebus dosa dan kesalahan yang telah dilakukannya. Bagaimana pun keikhlasan imam telah dibalas dengan kebaikan, kesalahannya dimaafkan tanpa diminta membayar ganti rugi, malahsaya difahamkan, hubungan dengan adiknya makin bertambah erat.


SOALAN
Bagaimana harta itu dibahagikan sekiranya anak sulung bersetuju supaya dibahagikan sama banyak manakala adik lelakinya mahukan pembahagian dibuat mengikut kadar faraid?

JAWAPAN
Asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid. Waris-waris boleh  bersetuju untuk membahagikan harta pusaka itu sama banyak antara lelaki dan perempuan dengan syarat-syarat berikut:
1.       Tiada paksaan atau ugutan.
2.       Waris cukup umur
3.       Waris siuman dan berupaya mengurus harta
Sekiranya adik lelaki tidak bersetuju dibahagi sama banyak dan mahukan bahagiannya mengikut kadar faraid, pembahagian masih boleh diteruskan. Bahagian adik lelaki dikekalkan mengikut kadar faraid manakala yang lain dibahagikan sama banyak. Jadualnya seperti berikut:


6
RM60,000
RM60,000.00
ANAK LELAKI
2
RM20,000
RM13,333.33
ANAK LELAKI
2
RM20,000
RM20,000.00
ANAK PEREMPUAN
1
RM10,000
RM13,333.33
ANAK PEREMPUAN
1
RM10,000
RM13,333.33

Hasilnya, adik lelaki mendapat bahagiannya mengikut kadar faraid iaitu sebanyak RM20,000 manakala 3 yang lain mendapat sebanyak RM13,333.33 tiap seorang.

Kesimpulan:
Fahami konsep pembahagian sama banyak. Elakkan persengketaan. Adik lelaki mendapat bahagian harta yang diperuntukkan oleh syarak kepadanya dan itulah haknya. Manakala abang sulung mendapat harta dan dua pahala;
Pertama:  pahala hibah kepada adik beradik perempuan,
Kedua:    pahala silaturrahim kerana dengan hibah itu boleh mengeratkan hubungan silaturrahim di        kalangan adik beradik.


WALLAHUAKLAM.