Thursday 2 October 2014

HUKUM PEWARISAN WARIS MATI SERENTAK

Salah satu syarat seseorang waris itu layak mewarisi harta pusaka ialah waris itu hidup ketika pemilik harta meninggal dunia. Ini bermakna, waris yang mati dahulu daripada empunya harta pusaka tidak berhak mewarisi.

Contoh:
Ahmad mempunyai empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Mereka ialah Abu, Ali, Sofiah dan Solehah. Ahmad telah meninggal dunia pada 1 Januari 2011. Pada masa kematiannya, anak sulung beliau iaitu Abu telah pun meninggal dunia terlebih dahulu iaitu pada 6 Mac 2009. Ini bermakna anak yang berhak mewarisi harta pusaka Ahmad ialah Ali, Sofiah dan Solehah. Abu tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya kerana pada masa kematian Ahmad, Abu telah pun meninggal dunia.

Soalan 1

Bagaimana hukum pewarisan bagi ahli keluarga yang mati serentak, misalnya seorang bapa dan anaknya mati ditempat kejadian dalam satu kemalangan jalan raya? Atau dalam kejadian kemalangan pesawat MAS MH17 baru-baru ini di mana ada dalam kalangan penumpang terdiri daripada pasangan suami isteri?.

Jawab:

Mati serentak bermakna tidak dapat dipastikan siapakah  antara kedua-dua mereka yang mati dahulu dan siapa pula yang mati kemudian. Ketika saksi tiba di tempat kemalangan, kedua-dua mereka telah pun meninggal dunia.

Hukumnya, saling tidak mewarisi antara satu sama lain. Maknanya, harta pusaka bapa tidak diwarisi oleh anaknya yang mati dalam kemalangan itu, manakala harta pusaka peninggalan anak itu tidak diwarisi oleh bapanya.

Contoh:
Ahmad mempunyai 4 orang anak iaitu Abu, Ali, Sofiah dan Solehah. Waris lain seperti isteri, ibu dan bapa telah mati dahulu. Abu mati serentak dengan bapanya (Ahmad) dalam satu kemalangan jalanraya. Abu telah berkahwin dan mempunyai seorang isteri bernama Sabariah dan dua orang anak lelaki iaitu Sidiq dan Sufian.

Harta pusaka Ahmad akan diwarisi oleh tiga orang anak-anaknya iaitu Ali, Sofiah dan Solehah seolah-olah Abu mati dahulu daripada bapanya. Manakala harta pusaka Abu akan diwarisi oleh isteri dan dua orang anak lelakinya seolah-olah bapanya (Ahmad) mati dahulu daripada Abu.





Pembahagian harta pusaka Ahmad:

ABU
Anak lelaki
Mati serentak
Tidak mewarisi
ALI
Anak lelaki
2/4
SOFIAH
Anak perempuan
1/4
SOLEHAH
Anak perempuan
1/4

Pembahagian harta pusaka Abu:

AHMAD
Bapa  Mati serentak
Tidak mewarisi
SABARIAH
Isteri
2/16
SIDIQ
Anak lelaki
7/16
SUFIAN
Anak lelaki
7/16


Begitu juga dalam kes kematian serentak melibatkan suami dan isteri. Masing-masing saling tidak mewarisi antara satu sama lain. Suami tidak mewarisi harta isteri dan begitulah sebaliknya. Harta suami dan isteri akan diwarisi oleh waris masing-masing.

Soalan 2

Bagaimana pula sekiranya Ahmad mati ditempat kejadian manakala Abu mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Jawab:

Ini bermakna Abu mati kemudian daripada bapanya. Oleh itu Abu berhak mewarisi harta pusaka bapanya walau pun Abu mati hanya beberapa minit kemudian. Manakala bapa (Ahmad) tidak layak mewarisi harta pusaka Abu kerana Ahmad mati dahulu daripada Abu.  Dengan perubahan fakta ini, pembahagian akan menjadi seperti berikut:

Pembahagian harta pusaka Ahmad:

ABU
Mati kemudian
2/6
ALI
Anak lelaki
2/6
SOFIAH
Anak perempuan
1/6
SOLEHAH
Anak perempuan
1/6

Pembahagian harta pusaka Abu:

AHMAD
Mati dahulu
Tidak mewarisi
SABARIAH
Isteri
2/16
SIDIQ
Anak lelaki
7/16
SUFIAN
Anak lelaki
7/16


Kesimpulan:

Waktu kematian adalah merupakan satu perkara yang sangat penting dan patut diberikan perhatian yang sewajarnya dalam urusan pembahagian harta pusaka. Waktu kematian menentukan sama ada seseorang waris itu mati dahulu, mati kemudian atau mati serentak dengan orang yang akan diwarisi hartanya.  Setelah diyakini waktu kematian seseorang waris dapatlah ditentukan kedudukannya sama ada layak mewarisi harta pusaka atau sebaliknya. Waris yang mati dahulu dan mati serentak tidak layak mewarisi manakala waris yang mati kemudian layak mewarisi.

Adalah menjadi tanggungjawab saksi kemalangan untuk memaklumkan kedudukan orang-orang yang mati dalam kemalangan itu kerana waktu kematian memberi kesan kepada kelayakan dalam mewarisi harta pusaka.





Sekian.