Thursday 22 May 2014

BAGAIMANA IBU MEWARISI HARTA PUSAKA – siri 2

Sebagaimana yang saya bincangkan dalam  siri 1 yang lalu, apabila seorang mati dan meninggalkan ibu,  ibu berhak mewarisi dengan tiga kaedah iaitu 1/3, 1/6 dan 1/3baki. Huraiannya seperti berikut:
         i.            Ibu mendapat 1/3 bahagian daripada harta pusaka apabila memenuhi syarat berikut iaitu:
a.       Si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah (zuriat), sama ada anak atau cucu. Atau;
b.      Si mati tidak meninggalkan lebih daripada seorang adik beradik (dua orang atau lebih).
Contohnya: Mustafa belum berkahwin, telah mati dan meninggalkan ibu, bapa dan seorang adik lelaki. Ibu mendapat 1/3 bahagian kerana Mustafa tidak mempunyai keturunan ke bawah (zuriat) dan hanya mempunyai seorang adik sahaja, manakala bakinya 2/3 bahagian diwarisi oleh bapanya. Adik beradik tidak mewarisi kerana terdinding atau dihalang oleh adanya bapa.


3
IBU
1/3
1
BAPA
ASABAH
2
1 SIB LELAKI
TERDINDING
0

       ii.            Ibu mendapat 1/6 bahagian daripada harta pusaka dalam keadaan berikut iaitu:
a.        Si mati meninggalkan keturunan ke bawah (zuriat) sama ada anak atau cucu. Atau;
b.      Si mati meninggalkan lebih daripada seorang adik beradik, sama ada adik beradik seibu sebapa, sebapa atau seibu. Tidak kira sama ada adik beradik itu turut mewarisi harta pusaka itu atau tidak (terdinding).

Contoh 1.    Mustafa mati dan meninggalkan ibu, isteri dan seorang anak lelaki. Ibu mendapat 1/6 bahagian kerana Mustafa ada meninggalkan zuriat (anak lelaki).


24
IBU
1/6
4
ISTERI
1/8
3
1 ANAK LELAKI
ASABAH
17

Contoh 2.    Mustafa mati dan meninggalkan isteri. Mustafa tidak mempunyai anak dan meninggalkan ibu serta tiga orang adik beradik seibu sebapa, satu lelaki dan dua perempuan. Walaupun si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah (zuriat), ibu mendapat 1/6 bahagian kerana si mati meninggalkan tiga orang adik beradik (lebih daripada seorang adik beradik).


12
48
IBU
1/6
2
8
ISTERI
1/4
3
12
SIB LELAKI
ASABAH

14
SIB PEREMPUAN
ASABAH
7
7
SIB PEREMPUAN
ASABAH

7

Kedua-dua kaedah yang disebutkan di atas iaitu 1/3 dan 1/6 bahagian ada disebutkan di dalam al-Qur’an Surah An-Nisa’ ayat 11 yang brmaksud:
“Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam”.

SOALAN
Terdapat sedikit kekeliruan di mana saya dapati dua sijil faraid yang mana waris yang berhak mewarisi hanya kedua-dua ibu dan bapa si mati sahaja, tiada anak dan tiada adik beradik, tetapi dalam kedua-dua kes itu faraidnya berlainan seperti berikut:
Faraid 1: ibu mendapat 1/3 bahagian dan bapa mendapat 2/3 bahagian.
Faraid 2: ibu mendapat 1/6 bahagian dan bapa mendapat 5/6 bahagian.
Boleh ustaz jelasakan?

JAWAPAN
Memang benar kadang kala terdapat kekeliruan dalam menentukan bahagian ibu. Tetapi apabila dihalusi, sijil faraid yang dikeluarkan itu bertepatan dengan kaedah yang dibincangkan di atas.
Bagi kes faraid 1, si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah dan tidak juga meninggalkan adik beradik. Maka sijil faraid dikeluarkan seperti berikut:
IBU
1/3
1/3
BAPA
ASABAH
2/3

Bagi kes faraid 2, si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah (zuriat), tetapi ada meninggalkan lebih daripada seorang adik beradik. Oleh itu ibu mendapat 1/6 bahagian. Kekeliruan timbul apabila tidak dimasukkan adik beradik di dalam sijil faraid kerana mereka terdinding dengan bapa. Bagaimana pun saya berpendapat adalah lebih baik adik beradik dimasukkan ke dalam sijil faraid bagi mengelakkan kekeliruan. Contohnya seperti berikut:


6
IBU
1/6
1
BAPA
ASABAH
5
SIB LELAKI
TERDINDING
0
SIB PEREMPUAN
TERDINDING
0
SIB PEREMPUAN
TERDINDING
0

SOALAN
Sebagaimana yang ustaz nyatakan bahawa ibu mendapat 1/3baki. Bahagian ini tidak disebutkan di dalam al Qur’an. Boleh ustaz nyatakan sumbernya dan apakah yang dimaksudkan dengan 1/3baki?.
JAWAPAN

Kaedah pembahagian 1/3baki tidak disebutkan di dalam al-Qur’an dan tidak pula wujud di zaman Rasululullah s.a.w.. Kaedah ini telah diputuskan oleh Saidina Umar r.a. bagi menyesuaikan bahagian lelaki dan perempuan yang mana waris  lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding waris perempuan termasuklah bahagian ibu dan bapa. Sekiranya ibu diberikan bahagian sebanyak 1/3, bermakna ibu akan mendapat lebih banyak daripada bapa seperti rajah di bawah:


6
SUAMI
1/2
3
IBU
1/3
2
BAPA
ASABAH
1

Kaedah 1/3baki ini merupakan kaedah khusus bagi ibu dan dinamakan Kes ‘Umariyyatain’ dan telah disepakati oleh para sahabat dan jumhur ulama.

 Ibu mendapat ‘1/3baki’ bagi dua kes khusus iaitu ketika si mati hanya meninggalkan waris-waris berikut:
i.                     Ibu, bapa dan suami. (Ibu mendapat 1/3 daripada baki setelah diberikan bahagian suami).
ii.                   Ibu, bapa dan isteri. (Ibu mendapat 1/3 daripada baki setelah diberikan bahagian isteri).



6
SUAMI
1/2
1/2
3
IBU
1/3 x 1/2
1/6
1
BAPA
ASABAH
ASABAH
2




4
ISTERI
1/4
1/4
1
IBU
1/3 x 3/4
1/4
1
BAPA
ASABAH
ASABAH
2


SEKIAN

Thursday 1 May 2014

BAGAIMANA IBU MEWARISI HARTA PUSAKA

Dalam konteks hukum faraid, ibu yang mewarisi bermakna ‘ibu yang melahirkan si mati’ atau dengan kata lain, ibu kandung. Sama ada si mati itu lelaki atau perempuan tidak membezakan kaedah pewarisan ibu.

SOALAN:
Apa yang dimaksudkan dengan ‘ibu yang melahirkan’ si mati?

IBU YANG LAYAK MEWARISI ialah ibu yang melahirkan si mati dan ini termasuk:
1.      Seorang ibu yang melahirkan anak melalui satu perkahwinan yang sah. Apabila anak itu meninggal dunia dan meninggalkan harta, ibu berhak mewarisi harta pusaka anaknya itu. Contoh, Salwa berkahwin dengan Zamri. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Yusri. Yusri meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya dan meninggalkan ibu (Salwa), bapa (Zamri), isteri dan dua orang anak. Salwa berhak mewarisi harta pusaka anaknya, Yusri.

2.      Seorang wanita melahirkan anak hasil daripada perzinaan, atau dengan kata lain melahirkan  anak luar nikah. Apabila anak itu meninggal dunia, ibunya berhak mewarisi harta pusaka anaknya itu. Contoh, Salwa telah berzina dengan seorang lelaki bernama Zamri dan melahirkan seorang anak bernama Yusri. Apabila Yusri mati, Salwa berhak mewarisi harta pusaka anaknya Yusri.

3.      Seorang ibu yang melahirkan anak tak sah taraf. Iaitu anak yang dilahirkan kurang enam bulan dari tarikh akad nikah. Contoh, Salwa berkahwin dengan Zamri. Lima bulan selepas majlis akad nikah, Salwa melahirkan seorang anak yang dinamakan Yusri. Apabila Yusri meninggal dunia, Salwa boleh mewasrisi harta pusaka anaknya.

4.      Seorang wanita mangsa pemerkosaan atau rogol, mengandung dan melahirkan seorang anak. Apabila anak itu meninggal dunia, wanita itu berhak mewarisi harta pusaka anaknya. Contoh, Salwa telah diperkosa dan dirogol oleh Zamri. Salwa mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki bernama Yusri. Apabila Yusri mati, Salwa sebagai ibu yang melahirkan Yusri berhak mewarisi harta pusaka anaknya itu.
Kesimpulannya walau apa keadaan sekali pun, seorang ibu berhak mewarisi harta pusaka anak yang dilahirkannya. Sama ada kelahiran itu melalui persetubuhan yang sah mengikut hukum syarak atau persetubuhan haram atau tidak diakui syarak. Berbeza dengan bapa di mana hanya bapa yang sah mengikut hukum syarak sahaja yang layak mewarisi harta pusaka anaknya. Ini bermakna bapa tidak berhak mewarisi harta pusaka anaknya yang lahir hasil perzinaan, pemerkosaan atau rogol dan anak tak sah taraf walau pun anak itu diakui oleh bapa sebagai sebagai anaknya.

SOALAN :
Dalam keadaan mana pula seorang ibu itu tidak layak mewarisi?

IBU YANG TIDAK LAYAK MEWARISI
Dari perbincangan di atas, jelaslah bahawa seseorang ibu  itu tidak layak mewarisi harta pusaka anak yang tidak dilahirkan olehnya. Mereka itu ialah anak angkat, anak tiri dan anak susuan.
Anak angkat ialah anak yang dilahirkan oleh orang lain dan dipelihara oleh ibu angkat. Contohnya, Salwa berkahwin dengan Zamri dan masih belum dikurniakan anak. Mereka mengambil seorang anak saudara bernama Yusri dan dipelihara sebagai anak angkat. Apabila Yusri meninggal dunia, Salwa tidak layak mewarisi harta pusaka Yusri kerana Yusri bukan anak kandung Salwa.
Anak tiri ialah anak kepada pasangan yang dikahwini. Sebagai contoh, Salwa berkahwin dengan Zamri seorang duda beranak satu bernama Yusri. Yusri adalah anak tiri kepada Salwa. Apabila Yusri meninggal dunia, harta pusaka Yusri tidak boleh diwarisi oleh Salwa kerana Yusri bukan anak kandung Salwa.
Manakala anak susuan samalah juga dengan anak angkat dari segi memelihara anak orang lain. Tetapi anak susuan ialah anak orang lain yang disusukan semasa masih bayi dan sekurang-kurangnya lima kali kenyang. Hukumnya dari segi pergaulan dan aurat sama seperti anak kandung, namun dari segi harta pusaka tetap tidak layak mewarisi kerana bukan anak yang dilahirkan olehnya. 

SOALAN:
Bagaimanakah kaedah seorang ibu itu mewarisi harta pusaka?

Ibu mewarisi harta pusaka melalui tiga kaedah.
Pertama           -           ibu mendapat 1/3 bahagian daripada harta pusaka anaknya dengan syarat anak yang mati itu tidak meninggalkan zuriat (anak atau cucu) dan tidak pula meninggalkan adik beradik lebih daripada seorang.
Kedua             -           ibu mendapat 1/6 bahagian daripada harta pusaka anaknya dengan syarat anak itu ada meninggalkan zuriat (anak atau cucu) atau ada meninggalkan dua orang atau lebih adik beradik.
Ketiga             -           ibu mendapat 1/3 baki. Iaitu kes khusus dalam ilmu faraid bagi kes ‘Umariyyatain’. Di mana kes 1,si mati meninggalkan ibu, bapa dan suami dan kes 2, si mati meninggalkan ibu, bapa dan isteri.

Untuk penjelasan secara terperinci berkaitan dengan kaedah pembahagian bagi ibu, insya Allah saya akan terangkan dalam artikel yang akan datang.


Terima kasih.