Friday 19 December 2014

ADAKAH ANAK IBU TIRI SAYA BERHAK MEMPUSAKAI HARTA AYAH SAYA?

 SOALAN

Assalaamualaikum Ustaz,

Arwah ayah telah meninggal dunia dan ada meninggalkan rumah, tanah, wang dan sedikit barang kemas seperti 3 gelang dan sebentuk cincin permata. Tanah dan wang telah mendapat persetujuan untuk dibahagikan secara faraid. Kami mempunyai 12 orang adik beradik ( 7 lelaki 5 perempuan). Emak telah meninggal dunia. Tetapi untuk membahagikan barang kemas ini sedikit sukar memandangkan jumlah barang kemas hanya ada 4 barang sahaja dan ada sesetengah adik beradik hendak memiliki barang kemas tersebut sebagai tanda kenangan dan wujudnya persaingan untuk memiliki barang kemas tersebut. Adik beradik tidak mahu barang kemas tersebut dijual atau digadai memandangkan ia mempunyai ‘sentimental value’ di situ. Macamana cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.  Barang kemas adalah seperti berikut ;

Gelang emas kasar                         RM7000 satu utas
Gelang emas halus                         RM500 satu utas
Gelang emas halus                         RM1000 satu utas
Cincin permata                               RM2000 satu bentuk.

Mohon pertolongan dan harap ustaz dapat membantu menyelesaikan masalah saya ini.

Terima kasih.

JAWAPAN

Pertama Ustaz mengucapkan tahniah kerana berjaya menyelesaikan harta pusaka orang tua dengan segera dan sebaik mungkin. Cuma timbul sedikit kekeliruan cara menyelesaikan barang kemas.

Dalam pembahagian harta pusaka sepatutnya masing-masing mengamalkan sifat -sifat ‘Mahmudah’ seperti bertolak ansur, berfikiran positif, tidak pentingkan diri, semangat kekeluargaan dan sebagainya. Dalam kes ini untuk memilikki barang kemas bagi setiap orang anak tidak mungkin kerana barang kemas cuma ada empat sahaja.

Salah satu cara penyelesaiannya ialah dengan cara melelong barang kemas itu di kalangan anak-anak si mati seramai 12 orang. Bermula dengan harga nilaian asal seperti gelang emas kasar RM7,000. Siapa yang sanggup membayarnya dengan harga yang paling tinggi, dialah yang akan memilikkinya dan waris lain akan mendapat faedah daripada lelongan itu kerana duit hasil lelongan itu akan dibahagikan kepada waris-waris.

Sebagai contoh: gelang emas kasar berharga RM7,000.00.
Setiap anak lelaki mendapat 2/19 bahagian bersamaan RM 736.84 manakala setiap anak perempuan pula mendapat 1/19 bahagian bersamaan RM368.42.
Sekiranya hasil lelongan itu Berjaya mencapai harga tertinggi sebanyak RM8,000.00 maka semua waris-waris akan mendapat untung manakala waris yang berjaya dalam lelongan itu akan berpuashati kerana dapat memiliki  barang kemas itu.



Gelang RM7,000.00
Harga lelong
RM8,000.00
Anak lelaki
2/19 tiap seorang
RM736.84
RM842.10
Anak perempuan
1/19 tiap seorang
RM368.42
RM421.05

 Cara lain bagi menyelesaikan pembahagian barang kemas ini ialah , bertolak ansur dan tak perlu fikirkan soal ‘sentimental value’. Kerana tidak akan mencapai penyelesaian sampai bila-bila tanpa pengorbanan.



SOALAN

Assalamualaikum,
Harap ustaz dapat membantu saya. Situasinya begini,
Ayah berkahwin kali pertama dengan ibu saya dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu saya. Setelah ibu meninggal dunia, ayah berkahwin dengan ibu tiri saya seorang janda beranak tiga, dua lelaki dan seorang perempuan. Ayah dan ibu tiri saya telah meninggal dunia. Ayah mati dahulu dan ibu tiri saya mati sebulan kemudian.
1. Adakah anak ibu tiri saya berhak mempusakai harta ayah saya?
2. Jika harta ibu tiri saya yang diperoleh sebelum berkahwin dengan ayah saya adakah saya juga berhak ke atas harta itu?
Mohon pencerahan. Terima kasih.

JAWAPAN
  1. Ayah saudara telah meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri iaitu ibu tiri saudara dan seorang anak lelaki iaitu saudara sendiri. Ibu tiri mendapat 1/8 bahagian manakala saudara sebagai anak lelaki mendapat Asabah iaitu baki sebanyak 7/8 bahagian.
Oleh kerana ibu tiri mati kemudian, bahagian ibu tiri sebanyak 1/8 bahagian itu akan berpindah kepada tiga orang anak-anaknya. Ini bermakna anak-anak ibu tiri akan turut mewarisi harta pusaka ayah saudara iaitu sebanyak 1/8 bahagian.
  1. Oleh kerana bapa mati dahulu daripada ibu tiri, bapa tidak mewarisi harta ibu tiri. Harta ibu tiri akan diwarisi sepenuhnya oleh ketiga-tiga orang anak-anaknya sahaja. Ini bermakna saudara tidak berhak ke atas harta ibu tiri.

Sekian.