Wednesday 5 September 2012


BILAMANA WARIS MENDAPAT KURANG DARIPADA SEPATUTNYA.

Satu hari Ahmad datang berjumpa dengan seorang imam masjid di kampungnya meminta imam itu bahagikan harta peninggalan isterinya yang meninggal dunia seminggu sebelum itu. Harta pusaka yang hendak dibahagikan ialah wang tunai sebanyak RM6,000.00.

Setelah bertanyakan Ahmad tentang kedudukan waris yang ditinggalkan oleh si mati, ternyata si mati hanya meninggalkan suami iaitu Ahmad dan dua orang saudara perempuan seibu sebapa bernama Sabariah dan Kamariah. Si mati tidak mempunyai anak, malah ibu dan bapa juga tidak ada kerana mereka telah lama meninggal dunia.

Imam yang berbekalkan sedikit pengetahuan tentang ilmu faraid bersetuju membantu Ahmad dan memberitahu Ahmad berhak mendapat separuh (1/2 bahagian) daripada wang peninggalan isterinya. Berdasarkan kepada surah an-Nisa’ ayat 12 yang bermaksud:

“dan bagi kamu (suami) setengah (1/2) daripada harta  yang ditinggalkan
 oleh isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak”.

Ini bermakna Ahmad mendapat 1/2xRM6,000 = RM3,000.00. Berdasarkan kepada dalil al-Quran di atas, imam itu memberikan kepada Ahmad bahagiannya sebanyak RM3,000.00.

Ahmad yang mengenali imam sejak sekian lama meminta imam itu menyimpan baki RM3,000.00 untuk diberikan kepada dua orang saudara perempuan seibu sebapa isterinya yang akan datang beberapa hari lagi.

Dua hari kemudian, Sabariah dan Kamariah datang berjumpa imam untuk menuntut haknya yang disimpan oleh imam.  Setibanya di rumah imam,  imam terus memberikan kepada mereka baki yang disimpan olehnya sebanyak RM3,000.00.

Sebelum datang berjumpa imam, Sabariah dan Kamariah telah menemui seorang ustaz dan bertanyakan bahagian mereka berdasarkan hukum faraid. Ustaz memberitahu mereka berhak mendapat 2/3 bahagian daripada harta pusaka itu berdasarkan kepada ayat 176 surah an-Nisa’ yang bermaksud;

“sekiranya saudara perempuan itu dua orang, maka kedua-dua
mereka mendapat 2/3 daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati”.

Ini bermakna dua saudara perempuan seibu sebapa itu berhak mendapat 2/3x RM6,000.00 = RM4,000.00.

Berbekalkan hujah di atas, Sabariah dan Kamariah bertanyakan kepada imam mengapakah diberikan kepada mereka hanya RM3,000.00 sedangkan sepatutnya mereka berhak mendapat RM4,000.00. Imam berfikir sejenak. “Betul kata mereka. Bahagian mereka 2/3 bersamaan RM4,000.00. Sedangkan duit baki hanya ada RM3,000.00. Di mana silapnya?”.

Imam tidak mahu kewibawaannya dicabar. Lantas tanpa banyak bicara beliau masuk ke dalam bilik dan mengambil RM1,000.00 yang kebetulan disimpan untuk perbelanjaan menyambut hari raya. Sabariah dan Kamariah mendapat habuan mereka RM4,000.00 dan terus beredar.

SOALAN: Apakah yang sebenarnya berlaku?

JAWAPAN:

Si mati meninggalkan hanya tiga orang waris sahaja iaitu, suami dan dua orang saudara perempuan seibu sebapa. Suami mendapat ½ bahagian kerana si mati tidak meninggalkan anak manakala dua orang saudara perempuan seibu sebapa pula mendapat 2/3 bahagian kerana mereka lebih daripada seorang dan tidak ada saudara lelaki seibu sebapa yang mengasabahkan mereka.

Pengiraan seperti berikut:



6
RM6,000.00
Suami
1/2
3
RM3,000.00
2 SIBP
2/3
4
RM4,000.00

Sekiranya diberikan kepada suami RM3,000.00, bermakna bakinya RM3,000.00 dan tidak cukup untuk diberikan bahagian dua saudara perempuan seibu sebapa yang sepatutnya mendapat RM4,000.00. Sekiranya diberikan kepada dua saudara perempuan itu RM4,000.00, bakinya RM2,000.00 sudah tentu tidak cukup untuk diberikan kepada suami yang sepatutnya mendapat RM3,000.00.

Bagi menyelesaikan kes ini, terdapat satu kaedah dalam hukum faraid yang di namakan kes ‘AUL.  (Rujuk: Buku Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka, DBP, Tajuk: Konsep ‘AUL. M.s. 133).

‘AUL merupakan salah satu kaedah yang agak unik dalam ilmu faraid, di mana dengan kaedah ini seseorang itu mendapat kurang daripada apa yang patut diperolehnya.

‘AUL bermakna bertambahnya angka pembawah atau bilangan pembahagi yang mana dengan sebab pertambahan ini akan mengurangkan bahagian waris yang sepatutnya mendapat bahagian asal yang lebih banyak.

Kaedah ‘AUL  adalah bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan bahagian waris fardu di mana setiap waris fardu berhak mendapat bahagian masin g-masing dan tidak boleh dikurangkan bahagian mereka.. Bagaimana pun, dalam beberapa keadaan jika dibahagikan mengikut bahagian masing-masing, harta yang ada tidak dapat memenuhi bahagian semua waris.  Jika diberikan kepada suami ½ bahagian, bahagian saudara perempuan akan menjadi kurang. Jika diberikan bahagian adik beradik 2/3 bahagian, suami pula akan mendapat kurang. Untuk mendapatkan keadilan, kedua-dua pihak akan mendapat kurang daripada sepatutnya melalui kaedah ‘AUL seperti berikut:



6
7
RM6,000.00
Suami
1/2
3
3
RM2,571.43
2 SIBP
2/3
4
4
RM3,428.57

Keterangan rajah:

Kes ini di ‘AUL kan daripada 6 kepada 7.  Iaitu dibesarkan pembawahnya daripada 6 kepada 7 bersamaan dengan jumlah bahagian waris. Bermakna suami mendapat 3/7 bahagian manakala saudara perempuan mendapat 4/7 bahagian.

Dengan itu suami mendapat RM2,571.43 (RM6,000x3/7) manakala saudara perempuan mendapat RM3,428.57 (RM6,000x4/7). Suami mendapat kurang sebanyak RM428.57 dan saudara perempuan pula mendapat kurang sebanyak RM571.43 daripada sepatutnya.

PERHATIAN:
Berhati-hatilah dalam pembahagian harta pusaka. Pelajari ilmu faraid dengan sempurna. Kes ‘AUL berlaku dalam 8 keadaan di mana dengan kes ini menyebabkan waris mendapat kurang daripada sepatutnya.

Sekian.