Sunday 23 December 2018


DARI FAIL PUSAKA #3

Selalu juga dikatakan orang, kalau tak ada anak lelaki, susah jadinya. Bagaimana pula dengan kes ini?

Fakta kes:

Roslan mati dan meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan berumur 10 tahun dan seorang saudara seibu sebapa lelaki bernama Rosmat.

Harta peninggalan adalah sebuah rumah teres bernilai RM80,000.00.

Permohonan untuk membahagikan harta pusaka dibuat oleh isteri si mati dan perbicaraan harta pusaka di hadapan saya berlangsung di Pejabat Pusaka, JKPTG Ipoh, Perak.

Pegawai: “Puan, rumah teres ni nak bahagi macam mana?”.
Isteri:     “Saya pohon dibahagi mengikut hukum faraid”.
Pegawai: “Maknanya rumah teres ni didaftarkan dengan 3 nama mengikut bahagian masing-masing?”. (Bertanya untuk kepastian).
Isteri:    “Ya, Tuan”.
Pegawai: “Encik Mat (Rosmat), Encik Tinggal di mana?”.
Rosmat: “Saya tinggal di Johor Bharu, Tuan”.
Pegawai: “Bila datang ke Ipoh?”.
Rosmat: “Semalam. Saya bermalam di hotel”.
Pegawai: “Encik setuju rumah teres ni dibahagi mengikut hukum Faraid?”.
Rosmat: “Tuan, bahagian saya, saya serahkan kepada anak saudara saya”.
Pegawai: “Benar ke Encik Mat tak mahu bahagian Encik?  Encik datang dari jauh. Bahagian Encik 3/8 bahagian. RM30,000.00”.
Rosmat: “Ya Tuan. Saya serahkan kepada anak saudara saya yang seorang ni. Dan saya berjanji akan tanggung (perbelanjaan) dia sehingga dia besar (dewasa)”.

Situasi:  Tidak semena-mena saya terlihat isteri si mati mengeluarkan sehelai tisu dari dalam beg tangannya lalu mengesat air mata yang mengalir keluar. (Terkejut dan terharu dengan kata kata Rosmat, agaknya).

Pegawai: (Tersentuh dalam situasi  dan terlintas di hati: Masya Allah, Allah telah menunjukkan kepada ku Hikmahnya).

Keputusan:

Sebuah rumah teres satu tingkat dibahagikan kepada:
Isteri                            1/8 bahagian.
Anak perempuan        7/8 bahagian.

Kes selesai.



0 comments:

Post a Comment