Sunday, 16 October 2011

KHIDMAT PERUNDINGAN: 1. Waris mati dahulu tiada hak mewarisi. 2. Zakat harta pusaka yang disimpan tanggungjawab waris. 3. Pengiraan.

Ibu saya telah meninggal dunia 6 tahun yang lalu, iaitu pada bulan Jun tahun 2006. Ibu meninggalkan barang kemas. Barang kemas itu tidak dibahagikan kepada waris-waris, sebaliknya telah disimpan oleh kakak sehinggalah beberapa hari yang lalu, kakak telah menjual barang kemas itu dan duit hasil jualan barang kemas itu kakak mahu bahagikan kepada waris-waris sebagai harta pusaka. Duit hasil jualan barang kemas berjumlah RM21,000.
Ibu meninggalkan seorang suami dan mempunyai 10 orang anak, 6 lelaki dan 4 perempuan. Tetapi seorang anak perempuan iaitu kakak saya nombor dua telah mati dahulu 4 bulan daripada ibu saya. Dua tahun lepas ayah telah berkahwin lain dan adik bongsu tinggal dengan abang sulung.

Soalan saya:
  1. Siapakah waris yang berhak ke atas duit hasil jualan barang kemas itu?. Adakah kakak yang mati dahulu atau anak-anak kakak berhak menerima pusaka?. Adakah ayah juga berhak menerima pusaka ibu kerana ayah telah berkahwin lain? 
  2. Saya difahamkan sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris-waris, waris-waris bertanggungjawab mengeluarkan zakat terlebih dahulu? Benarkah begitu?
  3. Saya pohon ustaz kirakan bahagian masing-masing mengikut hukum faraid.

Harap mendapat jawapan daripada ustaz.
Terima kasih.
Wassalam.

Jawapan:
  1. Waris yang berhak ke atas harta pusaka ibu anda ialah suami dan 9 orang anak. 6 lelaki dan 3 perempuan.
    1. Kakak yang mati dahulu tidak berhak mendapat pusaka begitu juga anak-anaknya. Ini kerana mengikut syarat seseorang itu berhak menerima pusaka ibunya ialah  anak itu hidup ketika ibunya meninggal dunia. Oleh kerana kakak mati dahulu daripada ibu, kakak tidak berhak menerima harta ibu.
    2. Ayah anda adalah suami kepada si mati. Suami yang bercerai mati berhak mewarisi harta pusaka isterinya. Sama ada suami itu telah berkahwin lain atau tidak, itu tidak menjadi persoalan, atau dengan lain perkataan tidak menjadi penghalang kepada suami untuk mewarisi harta pusaka isterinya. Lagi pun apabila seseorang itu meninggal dunia, secara otomatik harta itu menjadi harta pusaka dan sepatutnya difaraidkan seberapa segera yang mungkin. Suami berhak menerima pusaka isterinya walaupun suami tersebut berkahwin semula beberapa hari selepas kematian suaminya. Perlu saya tegaskan di sini, suami berkahwin lain tidak ada kena mengena dengan hukum pewarisan.
  2. Zakat wajib dijelaskan terlebih dahulu sebelum harta pusaka difaraidkan sekiranya pada masa hayatnya si mati yang sepatutnya wajib mengeluarkan zakat telah tidak membayar zakat sama ada dengan sengaja tidak membayarnya atau tidak sempat membayar zakat yang diwajibkan ke atasnya. Ketika itu, waris-waris wajib membayar zakat dengan mengambil sebahagian daripada harta si mati kerana itu adalah hutang si mati kepada Allah.

Dalam kes ini, barang kemas adalah pakaian si mati semasa hayatnya dan tidak perlu dikeluarkan zakat. Ini bermakna si mati pada masa hayatnya tidak wajib ke atasnya membayar zakat emas. Apabila berlaku kematian, barang kemas itu bukan lagi kepunyaan si mati, tetapi ia adalah kepunyaan waris yang berhak. Tindakan menyimpan barang kemas begitu lama merupakan satu kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku. Barang kemas itu sebenarnya kepunyaan suami dan anak-anak si mati. Menyimpan barang itu bermakna menyimpan barang kepunyaan suami dan anak-anak si mati dan bukannya menyimpan barang kepunyaan si mati.

Sama ada dikenakan zakat atau tidak, perlu dilihat kepada bahagian bagi setiap orang yang mewarisi setelah cukup haul dan cukup nisabnya. Sebagai contoh daripada RM21,000 itu suami berhak 1/4 bahagian. Bermakna suami akan mendapat sebanyak RM5250.00.  RM21,000 adalah nilaian semasa pada tahun 2011.

Bahagian suami akan dikenakan zakat dikira bermula cukup haul satu tahun hijrah selepas kematian isterinya iaitu pada tahun 2007. Itu pun sekiranya cukup nisab pada tahun itu. Saya difahamkan nisab emas pada tahun 2007 ialah lebih kurang RM6,000. Bahagian suami yang disimpan ketika itu mungkin sekitar RM3,000 sahaja dan begitulah seterusnya nisab bertambah dari tahun ke tahun seiring dengan kenaikan harga emas. Pada tahun ini, nisab emas lebih kurang RM11,000 (Nisab berubah-ubah mengikut harga emas semasa. Sila rujuk di bahagian zakat, Jabatan Agama negeri).

Kesimpulannya tiada zakat yang dikenakan ke atas barang kemas yang disimpan itu.

  1. Bahagian setiap orang waris mengikut hukum faraid adalah seperti berikut:


4
20
RM21,000.00
suami
1/4
1
5
RM5,250.00
Anak lelaki 1
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 2
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 3
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 4
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 5
Asabah
3
2
RM2,100.00
Anak lelaki 6
Asabah

2
RM2,100.00
Anak perempuan 1
Asabah

1
RM1,050.00
Anak perempuan 2
Asabah

1
RM1,050.00
Anak perempuan 3
Asabah

1
RM1,050.00

Wallahu'aklam.

Saturday, 8 October 2011

AMBIL TAHU SIAPAKAH WARIS BERHAK MEWARISI UNTUK ELAK KEKELIRUAN



Apabila berlaku kematian, secara automatik harta si mati berpindah kepada waris-waris yang ditinggalkan. Persoalannya, siapakah waris yang berhak mewarisi harta pusaka itu?

Untuk mengetahuinya pelajarilah ilmu faraid. Perunding W Halim bersedia membimbing anda. Berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang dipelajari akan membolehkan seseorang itu mengetahui siapakah yang berhak mewarisi. Bagaimana pun cara mudah untuk mengetahui waris yang berhak ialah dapatkan maklumat yang betul daripada orang yang benar-benar mahir dalam bidang ilmu Faraid.

Mengetahui waris yang berhak mewarisi harta pusaka boleh membantu waris-waris menyelesaikan beberapa masalah, antaranya:
  1. Hanya waris yang berhak sahaja yang akan mengurus dan membincangkan pembahagian harta. Campur tangan orang luar seperti ipar, menantu, jiran atau rakan-rakan yang tidak diundang boleh menimbulkan salah faham, ketidak puasan hati dalam kalangan waris yang akhirnya akan menimbulkan pertelingkahan. Bagaimana pun, mereka boleh membantu sekiranya diperlukan oleh waris-waris.
  2. Bagi memastikan waris-waris yang berhak tidak dipinggirkan.
  3. Mengelakkan rasa kecewa dan malu dalam ahli keluarga akibat kejahilan hukum faraid kerana menyangka beliau berhak mendapat pusaka sedangkan mengikut hukum faraid, sebenarnya beliau tidak berhak.
Satu kes telah dilaporkan seperti berikut:

Si mati bernama Rafeah telah meninggal dunia pada tahun Disember 2010. Rafeah tidak meninggalkan ibu bapa (mereka mati dahulu).Suami bernama Saad juga mati dahulu pada tahun 2000.Pada masa kematiannya, Rafeah meninggalkan tiga orang anak, satu lelaki dan dua perempuan iaitu, Basir, Salbiah dan Basirah.
Harta pusaka yang ditinggalkan  ialah wang tunai berjumlah RM250,000.00

Sebelum sempat harta pusaka Rafeah dibahagikan, Basir telah meninggal dunia iaitu pada Januari 2011. Isteri Basir mati dahulu dan Basir meninggalkan hanya tiga orang anak perempuan. Basir juga meninggalkan dua orang bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa bernama Ali dan Abu (adik beradik seibu sebapa dengan Saad, bapa Basir ).

Persoalan timbul siapakah yang akan mewarisi harta pusaka Rafeah? Tiga orang anak Basir semuanya perempuan, pada pendapat umum mereka tidak boleh mewarisi kesemua  harta pusaka Basir. Oleh kerana bapa saudara dikatakan lebih berhak untuk menghabiskan harta pusaka itu kerana mereka berdua lelaki, maka pengesahan perlu dibuat bagi memastikan waris lelaki itu benar-benar berhak.

Bagi memberi gambaran lebih jelas kedudukan waris si mati, rajah di bawah boleh membantu anda:


Soalan 1: Siapakah yang berhak ke atas harta pusaka Rafeah?
Jawapan:
Penentuan waris berhak: hanya 3 orang anak. 1 lelaki dan 2 perempuan.
Penentuan bahagian: seperti rajah di bawah:


4
RM250,000.00
BASIR
2
RM125,000.00
SALBIAH
1
RM  62,000.00
BASIRAH
1
RM  62,000.00

Sebelum sempat pembahagian di atas dibuat, Basir telah meninggal dunia.
Soalan 2 : Siapakah yang berhak ke atas harta pusaka Basir?
Jawapan:
Penentuan waris berhak:
  1. Tiga anak perempuan
  2. Dua saudara seibu sebapa perempuan
  3. Dua bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa

Berdasarkan kaedah pembahagian:
  1. Tiga anak perempuan sebagai waris utama berhak mewarisi secara fardu sebanyak 2/3 bahagian. Harta pusaka masih berbaki 1/3 bahagian.
  2. Waris ganti keturunan ke atas seperti datuk dan nenek dan keturunan ke bawah seperti cucu tidak ada. Oleh itu berpindah kepada waris kedua yang lebih hampir iaitu adik beradik si mati. Mengikut kaedah pembahagian, dua saudara seibu sebapa perempuan ketika bersama dengan anak perempuan, berhak mewarisi secara asabah ma’al ghairi. Iaitu adik beradik perempuan akan menerima baki sebanyak 1/3 bahagian. Bermakna harta pusaka telah dapat dihabiskan oleh lima orang waris perempuan, iaitu 3 anak perempuan dan 2 adik beradik perempuan.
  3. Oleh kerana adik beradik perempuan telah mewarisi secara asabah dan menghabiskan harta pusaka, dua bapa saudara sebelah bapa terdinding atau mahjub (gugur) dan tidak mewarisi apa-apa.
Penentuan bahagian: seperti rajah di bawah:


3
18
RM125,000.00
LATIFAH

4
RM  27,777.78
SAUDAH
          2/3
2
4
RM  27,777.78
ZAWIAH


4
RM  27,777.78
SALBIAH
         Asabah
1
3
RM  20,833.33
BASIRAH


3
RM  20,833.33
ALI
         Gugur   
0
0
0
ABU


0
0
 
Keputusan: Abu dan Ali tidak mendapat apa-apa walaupun mereka berdua waris lelaki.

Apabila dilakukan pengiraan bagi kematian berlapis secara sekali gus mengikut kaedah pengiraan MUNASAKHAT, pembahagian seperti rajah di bawah:

Kesimpulan:
    1. Dengan mengetahui waris yang berhak dan bahagian masing-masing, membolehkan waris-waris membuat pembahagian dengan adil dan dapat mengelakkan sebarang rasa tidak puashati. Mengapa Salbiah dan Basirah mendapat bahagian yang banyak ada jawapannya. Mereka mendapat dua kali iaitu pertama, sebagai anak kepada Rafeah dan kedua, sebagai adik beradik kepada Basir.
    2. Ali dan Abu hendaklah akur dengan hukum faraid dan jangan tergesa-gesa mencanang bahawa mereka berhak kerana mereka waris lelaki.
    3. Ambil tahu siapakah waris yang berhak agar harta pusaka dapat diagihkan kepada mereka yang sebenarnya berhak.

Tuesday, 20 September 2011

PASTIKAN HARTA PUSAKA SUMBER REZEKI HALAL


Salah satu daripada sumber rezeki yang diperolehi oleh seseorang ialah melalui warisan harta pusaka. Harta yang diwarisi ini asalnya harta halal seperti mana yang disyariatkan mengikut kaedah-kaedah hukum faraid.

Sebagai contoh seorang mati meninggalkan ibu, isteri dan dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Si mati meninggalkan sebidang tanah dusun seluas dua ekar. Tanah pusaka ini perlu difaraidkan kepada waris-waris bagi menentukan bahagian yang akan dimiliki oleh setiap orang waris. Mengikut kaedah faraid, setiap orang waris mendapat bahagian seperti berikut:



24
72
2 Ekar
%
Ibu
1/6
4
12
0.33 ekar
16.67
Isteri
1/8
3
9
0.25 ekar
12.50
Anak lelaki
Asabah
17
34
0.94 ekar
47.22
Anak perempuan
Asabah

17
0.47 ekar
23.61

Setelah dibuat pembahagian mengikut hukum faraid, setiap orang waris mengetahui bahagian masing-masing. Misalnya bahagian ibu seluas 0.33 ekar, atau 16.67 peratus daripada keluasan tanah. Sekiranya tanah dusun itu mengeluarkan hasil sebanyak RM1,000.00, ibu sepatutnya mendapat sebanyak RM166.67, manakala anak lelaki pula mendapat sebanyak RM472.22. Demikian juga isteri dan anak perempuan mendapat sebanyak mana bahagian masing-masing iaitu RM125 dan RM236.11.

Inilah antara rezeki halal yang dikecapi oleh waris-waris setelah harta pusaka dibahagikan mengikut hukum faraid.Bagaimana pun setelah mengetahui bahagian masing-masing, setiap orang waris boleh menyerahkan haknya kepada orang lain dengan rela hati bagi mengeratkan hubungan silaturraahim dan memanfaatkan harta halal yang diperolehi secara percuma sebaik mungkin.

Contohnya, anak lelaki dan anak perempuan dengan rela hati menyerahkan bahagian masing-masing kepada isteri si mati iaitu ibu mereka. Oleh itu isteri si mati akan mendapat sebanyak RM833.33. Demikian juga tidak menjadi kesalahan sekiranya semua waris seperti ibu, anak lelaki dan anak perempuan menyerahkan hak mereka kepada isteri si mati di mana dengan penyerahan ini isteri si mati mendapat kesemua hasil dusun itu sebanyak RM1,000.00. Penyerahan hak ini harus dilakukan mengikut hukum Faraid di bawah kaedah Takharuj iaitu penyerahan hak oleh seseorang kepada orang lain.

Bagaimana pun harta pusaka boleh menjadi rezeki tidak halal sekiranya harta itu tidak diuruskan pembahagiannya dengan betul mengikut kehendak hukum faraid. Sama ada disedari atau tidak, mungkin ada yang mengecapi harta pusaka secara yang tidak halal. Dengan kata lain memakan harta orang lain yang mana mereka itu adalah saudara kita sendiri.

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? Mengapa harta pusaka yang halal boleh bertukar menjadi tidak halal dimiliki dan dimakan?.

Harta pusaka yang pada asalnya halal dinikmati boleh bertukar menjadi haram dalam dua keadaan.
Pertama: Dengan sengaja meminggirkan waris yang berhak. Contohnya seorang mati meninggalkan dua isteri dan tiga orang anak lelaki.  Kedua-dua isteri bercerai mati dan sepatutnya mereka berdua berhak mewarisi harta pusaka itu. Mengikut hukum faraid, bahagian waris-waris ditunjukkan seperti mana rajah:

 

8
48
RM2,000.00
Isteri 1
    1/8
1
3
RM   125.00
Isteri 2


3
RM   125.00
Anak lelaki 1

14
RM   583.33
Anak lelaki 2
   Asabah
7
14
RM   583.33
Anak lelaki 3


14
RM   583.00

Sekiranya isteri pertama dan anak-anaknya meminggirkan isteri kedua dan tidak memberikan haknya, maka sudah jelas dan nyata, mereka berempat telah memakan harta bahagian isteri kedua yang sepatutnya memperoleh bahagian sebanyak RM125.00. Apa hukumnya?. Jawabnya haram. Rezeki yang diperoleh sebanyak RM125.00 itu haram dimakan kerana ia kepunyaan isteri kedua. Katakan RM2,000 ini adalah hasil kebun getah. Maka setiap ketika, isteri dan ketiga-tiga anaknya sentiasa memakan harta yang telah bercampur dengan harta haram. Bayangkan sekiranya hasil ini dimakan turun temurun sehingga kepada generasi seterusnya.

Kedua: Secara tidak sengaja memakan harta pusaka bahagian orang lain. Contohnya seorang mati meninggalkan ibu dan seorang anak lelaki. Pembahagian mengikut hukum faraid seperti mana rajah:



6
Tanah 6 ekar
Ibu
1/6
1
1 ekar
Anak lelaki
Asabah
5
5 ekar

Kematian berlaku pada tahun 1950. Kes ini benar-benar berlaku di mana penyelesaiannya hanya dibuat pada tahun 2000. Sejak kematian bapanya, anak lelaki menguasai tanah bendang pusaka arwah bapanya dan memakan hasil bendang seorang diri dengan anggapan beliau seorang sahaja waris tunggal yang berhak ke atas harta pusaka bapanya.

Selama 50 tahun tanpa disedari, sehingga permohonan untuk membahagikan harta pusaka dibuat di Pejabat Tanah, anak lelaki cuba mengingat kembali sejarah kematian bapanya. Ketika bapanya meninggal dunia, nenek masih ada (ibu kepada bapa). Nenek mati 2 hari kemudian. Bermakna nenek (ibu si mati) mempunyai hak sebanyak 1/6 bahagian. Oleh kerana nenek meninggal dunia, bahagian nenek diwarisi oleh tiga orang anak-anaknya. Mereka ini adalah bapa dan ibu saudara kepada anak lelaki tersebut. Selama 50 tahun anak lelaki memakan 1/6 daripada harta pusaka bahagian bapa dan ibu saudaranya. Bayangkan harta pusaka tidak halal dimakan oleh anak lelaki itu.  Bukan mencuri, bukan menipu tetapi tanpa disedari rupanya harta yang diperolehi sebahagiannya adalah harta haram.

Alangkah terkejutnya anak lelaki tersebut. Tetapi Allah masih sayangkan dia. Ketiga-tiga bapa dan ibu saudara yang dipanggil kemudiannya telah menghalalkan apa yang dimakan dan seterusnya secara resmi menyerahkan kesemua harta tersebut kepada anak lelaki. Dengan penyerahan ini, maka sahlah kesemua harta pusaka itu kepunyaan anak lelaki seorang dan seterusnya menikmati harta pusaka secara halal.

Kesimpulannya, segeralah selesai pusaka mengikut undang-undang kerana ia akan menentukan waris yang berhak, mengelakkan makan harta haram dan memuktamadkan pemilikan seseorang ke atas harta pusaka melalui pendaftaran di dalam hakmilik tanah. Elakkan daripada ‘tinggal waris’ atau ‘sembunyi waris’ kerana hukumnya haram memiliki harta orang lain secara batil. 

Tuesday, 6 September 2011

RAHSIA DI SEBALIK PEMBAHAGIAN SAMA BANYAK

Hukum faraid menetapkan pembahagian yang lebih kepada anak lelaki sekali ganda berbanding anak perempuan. Ini bermakna sekiranya anak lelaki mendapat bahagian sebanyak RM2,000, anak perempuan akan mendapat RM1,000. Hukum ini dinyatakan di dalam al Quran surah al-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyemai bahagian dua orang anak perempuan”.

Bagaimana pun ada kalangan waris-waris bersetuju supaya harta pusaka ibu atau bapa mereka dibahagi sama rata antara anak lelaki dan anak perempuan. Bermakna kalau anak lelaki mendapat RM2,000, anak perempuan juga mendapat sebanyak itu. Soalnya, ada yang mempersoalkan bolehkah pembahagian sama banyak dilakukan?. Tidak berdosakah kita membelakangkan hukum Allah atau tidak mengikut ketentuan Allah dalam al Quran?

Pembahagian sama banyak berlaku dalam beberapa situasi. Antaranya:

  1. Anak lelaki dengan rela hati bersetuju membahagikan harta pusaka itu  sama rata dengan anak perempuan.
  2. Anak perempuan memohon supaya dibahagi sama, dan anak lelaki bersetuju.
  3. Anak sulung mencadangkan supaya harta pusaka itu dibahagi sama banyak dan memaksa adik adik supaya mematuhi cadangannya.
  4. Sebagai seorang ibu, membahagikan harta peninggalan suaminya kepada anak-anaknya sama rata sedangkan anak-anak masih belum cukup umur.

Pembahagian sama banyak boleh dilakukan dengan syarat waris-waris memahami konsep pembahgian dan syarat-syaratnya dan bukan hanya sekadar ikutan.

Konsep pembahagian:
Asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid. Sebagai contoh, sekiranya si mati meninggalkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan dan kesemua harta pusaka berjumlah RM150,000.00. Mengikut hukum faraid, pembahagian seperti berikut:



RM150,000.00
Anak lelaki
2/3
RM100,000.00
Anak perempuan
1/3
RM  50,000.00

Hukum faraid menentukan bahagian anak lelaki sebanyak RM100,000.00 manakala anak perempuan memperolehi sebanyak RM50,000.00. Sekiranya anak lelaki bersetuju untuk dibahagi sama banyak, pembahagian menjadi seperti berikut:



RM150,000.00
Lebih / kurang
Anak lelaki
1/2
RM 75,000.00
- RM 25,000.00
Anak perempuan
1/2
RM 75,000.00
+ RM 25,000.00

Pembahagian sama banyak bermakna anak lelaki dengan rela hati bersetuju menyerahkan sebanyak RM25,000.00 kepada anak perempuan. Dengan penyerahan ini bermakna anak perempuan akan mendapat tambahan sebanyak RM25,000.00 menjadikan jumlahnya RM75,000.00.

Memahami konsep ini, bermakna persetujuan anak lelaki diwajibkan dan dengan syarat:
  1. Sebelum pembahagian, anak lelaki terlebih dahulu mengetahui bahagiannya mengikut hokum faraid.
  2. Setiap anak lelaki memahami konsep pembahagian sama banyak.
  3. Persetujuan dibuat secara sukarela dan tiada paksaan atau ugutan.
  4. Anak lelaki cukup umur dan sempurna akal.

Ini bermakna sekiranya ada paksaan atau waris lelaki belum cukup umur atau tidak siuman, pembahagian sama banyak tidak boleh dilaksanakan.

Soalan seterusnya, bagaimana kalau sekiranya ada 3 anak lelaki, tetapi seorang daripada mereka tidak setuju pembahagian sama banyak?.

Jawabnya: berikan haknya mengikut faraid manakala waris lain dibahagi sama. Lihat contoh melalui rajah di bawah:

Asal pembahagian mengikut faraid:



RM150,000.00
Anak lelaki 1
2/8
RM37,500
Anak lelaki 2
2/8
RM37,500
Anak lelaki 3
2/8
RM37,500
Anak perempuan
1/8
RM18,750
Anak perempuan
1/8
RM18,750

Anak lelaki 3 seorang mahukan pembahagian secara faraid. Yang lain bersetuju pembahagian sama banyak:



RM150,000.00
Anak lelaki 1
3/16
RM28,125
Anak lelaki 2
3/16
RM28,125
Anak lelaki 3
4/16
RM37,500
Anak perempuan
3/16
RM28,125
Anak perempuan
3/16
RM28,125

Bahagian anak lelaki 3 dikekalkan mengikut faraid manakala waris lain dibahagi sama banyak.

Fahami konsep pembahagian sama banyak. Elakkan perbalahan. Elakkan pembahagian tidak wajar. Tiada paksaan dalam pembahagian.