Wednesday, 9 November 2011

PUSAKA KECIL:


MUDAH DAN MURAH. TETAPI BOLEH SINGKATKAN KPI?
 (Petikan sebahagian nota ceramah Sesi 1. Seminar Pengurusan Harta Pusaka oleh Perunding W Halim)

1.  Definisi
Pusaka kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati yang mempunyai ciri-ciri berikut:
·         Si mati tidak meninggalkan wasiat (di bawah Akta Wasiat 1959)
·         Harta itu terdiri daripada : Harta tak alih (tanah) dan lain-lain harta alih jika ada seperti wang simpanan, kenderaan, KWSP, ASB, saham dan sebagainya
·         Jumlah nilaian kesemua harta itu tidak melebihi RM 2 juta

Sekiranya harta tersebut bernilai lebih daripada RM 2 juta atau tidak mengandungi harta tak alih atau mempunyai wasiat (bagi bukan Islam), maka bukanlah ia pusaka kecil dan hendaklah diselesaikan oleh Amanah Raya Berhad atau Mahkamah Tinggi mengikut bidang kuasa masing-masing. (rujuk artikel Pentadbiran Harta Pusaka Di Malaysia).

2. Tatacara Membuat Permohonan
·         Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat dalam borang khas iaitu Borang A (Mudah diisi dan mudah difahami).
·         Maklumat dikehendakki:
o   Maklumat si mati
o   Maklumat pemohon
o   Maklumat waris
o   Maklumat harta (tak alih dan alih)
o   Maklumat hutang piutang
·         Permohonan mestilah disertakan dengan:
o   Bukti kematian:
i.              Sijil kematian / permit menguburkan atau
ii.   Surat sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan (bagi kematian yang tidak dapat dikemukakan sijil kematian); atau
iii.            Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi kematian tanpa kubur atau orang hilang.
o   Salinan kad pengenalan / sijil kelahiran semua waris
o   Salinan hak milik atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih si mati.
o   Salinan dokumen harta-harta alih, seperti salinan sijil saham, salinan buku simpanan, salinan penyata KWSP dan sebagainya (jika ada).

3. Siapakah Yang Layak Memohon
Seksyen 8 (1) Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 memperuntukkan pihak-pihak yang boleh membuat permohonan, iaitu:
*      Salah seorang daripada waris-waris si mati yang berhak menerima pusaka seperti suami, isteri, anak lelaki, anak perempuan, ibu, bapa dan sebagainya termasuk Majlis Agama Islam (Baitulmal).
*      Pemberi hutang (creditor) termasuk pemegang gadaian / pemegang pajakan dan pengkaveat.
*      Pembeli (pembelian melalui surat perjanjian yang sah dengan si mati)
*      Amanah Raya Berhad
*      Penghulu / Pegawai Petempatan

4. Bilakah Permohonan Pusaka Perlu dibuat?
      i.        Tiada ketetapan masa atau  pantang larang (sama ada dari segi undang-undang ataupun agama) untuk mengemukakan permohonan pembahagian pusaka  selepas berlakunya kematian.
  1. Permohonan perlu dibuat dengan segera supaya:-
    1. Memudahkan proses pembahagian pusaka.
    2. Membolehkan harta pusaka di manfaatkan dengan segera bagi faedah waris-waris.
    3. Mengelakkan berlakunya tanah-tanah terbiar. Sekiranya ada proses pengambilan balik tanah, memudahkan duit pampasan dibayar dengan segera kepada pemilik-pemiliknya.
    4. Mengelakkan bilangan waris yang ramai akibat kematian waris-waris yang berlapis.
    5. Mengelakkan wang simpanan si mati dalam mana-mana institusi kewangan atau koperasi, saham-saham dalam syarikat, bon-bon kerajaan dipindahkan kepada Perbendaharan melalui Akta Wang Tidak Di Tuntut 1965.

5. Memproses Permohonan
Setiap permohonan akan diproses:
            i.          Mengesahkan harta milik si mati
            ii.          Mendapatkan nilaian harta tak alih.
            iii.         Mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tiada    
                        permohonan terdahulu.

6. Anggaran Jangka Masa Memproses Sesuatu Permohonan
Jangkamasa minima memproses sesuatu permohonan bagi satu adalah lebih kurang 5 ½
bulan. Ini adalah Piagam Pelanggan seksyen pusaka JKPTG standard diterima pakai di 
seluruh negara dan diterima pakai untuk KPI menteri.
Soalannya, bolehkah tempoh KPI ini dicapai oleh semua daerah?

7. Perbicaraan
·   Sebelum menghadiri perbicaraan, waris-waris hendaklah mengadakan perbincangan di rumah tentang cara pembahagian yang dipersetujui sama ada mengikut hukum syarak (faraid), Akta Pembahagian atau muafakat.
·  Semua waris dan mana-mana orang yang berkepentingan atas harta pusaka itu bertanggungjawab untuk hadir dalam perbicaran tersebut.
·   Sekiranya ada antara waris yang tidak dapat hadir, pastikan waris yang tidak hadir itu menandatangani Surat Persetujuan yang menyatakan cara pembahagian yang dikehendakki. Ini bagi mengelakkan kes tersebut tertangguh atau tidak dapat diselesaikan.
·         Pemohon wajib hadir untuk memberi keterangan.
·   Setiap keterangan akan diambil secara bersumpah dan waris-waris bertanggungjawab penuh ke atas keterangan yang diberi.
·    Keterangan palsu dikira sebagai kesalahan jenayah dan boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

8. Tujuan  Perbicaraan

·         Untuk mengesahkan harta si mati.
·         Untuk mengesahkan siapa yang berhak dan bahagian masing-masing.
·         Untuk menyelesaikan hutang si mati.
·         Untuk menunaikan wasiat si mati jika ada.
·  Untuk mengetahui cara pembahagian yang dikehendakki oleh waris-waris sama ada mengikut faraid, Akta Pembahagian, pakatan, takharuj (penyerahan hak) dan sebagainya.

9. Pembahagian
Cara untuk membahagikan harta pusaka adalah hak mutlak waris-waris. Asal pembahagian adalah mengikut hukum faraid atau Akta Pembahagian, tetapi waris-waris boleh untuk memilih cara pembahagian yang lain berdasarkan konsep persetujuan tanpa paksaan atau ugutan mana-mana pihak. Antara cara pembahagian yang boleh di buat ialah:
i.        Mengikut hukum faraid / Akta Pembahagian.
ii.      Pembahagian sama rata / sama banyak.
iii.    Penyerahan hak kepada seorang atau beberapa orang.
iv.    Takharuj (penyerahan hak) dengan balasan.
v.      Takharuj (penyerahan hak) tanpa balasan.
vi.    Pembahagian mengikut pakatan / persetujuan.

10. Bentuk Perintah Yang Dibuat.
Perintah yang dibuat oleh Pentadbir Tanah adalah berdasarkan kepada persetujuan waris, isu yang berbangkit dan keadaan kes.
a.    Turun milik/Perletakan hak secara langsung.
b.    Perlantikan Pentadbir.
c.    Sebahagian penerimaan terus dan sebahagian pemberian surat kuasa.
d.    Perletakhakan kepada Pemegang Amanah.
e.    Jualan/lelong awam/tender.
f.     Pengembalian kepada Kerajaan Negeri.
      (Kes harta pusaka orang bukan Islam yang tiada waris)

a.         Turun Milik/Perletakan Hak Secara Langsung.
Harta si mati sama ada harta alih atau harta tak alih diturun milik terus kepada waris-waris/benefisiari semua bahagian atau dengan bahagian masing-masing ditentukan dalam bentuk pecahan daripada keseluruhan harta. Kaedah pembahagian:-
(a)        Islam               -           Mengikut hukum syarak (faraid).
Bukan Islam    -           Mengikut Akta Pembahagian 1958
(b)          Mengikut muafakat/persetujuan.
(c)          Bagi seseorang pembeli yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 APPK, 1955 akan diperintahkan turun milik terus kepada pembeli.

b.         Perlantikan Pentadbir.
Pentadbir Tanah akan mengeluarkan Surat Kuasa Tadbir (Letter of administration – LA) kepada salah seorang waris (perlantikan pentadbir 1 hingga 4 orang) atau pihak-pihak lain yang difikirkan sesuai dalam keadaan berikut:.
o   Si mati mempunyai tanggungan yang tidak boleh diselesaikan oleh waris semasa perbicaraan.
o   Waris-waris tidak sepakat dalam menentukan bahagian masing-masing yang patut dipusakai daripada harta si mati.
o   Bagi menerima dan membuat pembayaran bagi pihak waris-waris kepada mana-mana pihak yang si mati mempunyai kepentingan dan tanggungan.
o   Bagi mentadbir bahagian waris-waris yang tidak zahir seperti hilang atau tiada keupayaan memiliki hak (tanah) dari segi undang-undang.
o   Merupakan “ Locus Standy ” bagi maksud meneruskan tindakan bagi pihak si mati.
o   Membuat tuntutan di Mahkamah Syariah seperti tuntutan sepencarian,
Nasab / hibah dan wasiat.
o   Hutang lebih banyak dari nilai harta (insolvent estate) Pegawai Pemegang Harta dilantik sebagai Pentadbir.

c.         Sebahagian Penerimaan Terus dan Sebahagian Pemberian Surat Kuasa
Beberapa keping tanah/harta diturun milik kepada waris manakala tanah/harta lain dilantik pentadbir sahaja.

d.         Perletakhakan Kepada Pemegang Amanah
    • Dalam keadaan waris-waris/benefisiari yang belum dewasa (bawah 18 tahun), hilang keupayaan fizikal dan mental. Bahagian mereka hendaklah di letakkan kepada penjaga sebagai pemegang amanah atas harta tak alih.
    • Bagi menjaga kepentingan bahagian waris yang belum dewasa/ hilang keupayaan, satu kaveat pendaftar dimasukkan di atas hakmilik, tujuan melindungi bahagian mereka tersebut daripada salah guna.
    • Bagi harta alih, ARB dilantik sebagai pemegang amanah.

11. Perintah dikeluarkan
Perintah dikeluarkan dalam 2 bentuk:
-       Borang E: iaitu perintah pembahagian terus.
-       Borang F: iaitu perintah lantikan pentadbir.

12. Rayuan Terhadap Perintah Pembahagian
Mana-mana pihak yang terkilan dan tidak berpuas hati dengan perintah pembahagian boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi melalui Pentadbir Tanah/ Penolong Pengarah Pembahagian Pusaka yang membicarakan kes itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah/keputusan itu dibuat (Seksyen 29 Akta & Peraturan 10, Harta Pusaka Kecil 1955).
            Sekiranya tempoh itu tamat pihak yang merayu hendaklah mendapatkan perintah untuk melanjutkan tempoh rayuan melalui perintah Mahkamah Tinggi sebelum rayuan sebenar dibuat.

13. Melaksanakan Perintah Pembahagian
Setelah perintah pembahagian dikeluarkan, pemohon/waris hendaklah mengemukakan
geran tanah/ hakmilik harta tak alih ke Pejabat Tanah berkenaan supaya nama waris-waris
didaftarkan seperti mana perintah itu.          
Bagi harta alih pula  pemohon/ waris hendaklah mengemukakan perintah pembahagian kepada agensi/institusi yang berkenaan untuk tindakan agensi itu. 
Dengan ini selesailah sudah pembahagian harta pusaka. Wang simpanan boleh dikeluarkan, dan masing-masing dengan harta milikan sendiri dengan nama terdaftar di dalam hak milik.

14. KESIMPULAN
Sebenarnya proses permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil cukup mudah. Bayarannya juga murah seperti mana jadual bayaran fee di bawah. Bermula dengan seorang pemohon mengisi Borang A, menyertakan dokumen-dokumen perlu dan diserahkan kepada unit pembahagian pusaka atau pejabat tanah tanpa bayaran.
Permohonan diproses oleh kakitangan dengan memasukkan data dalam sistem komputer. Dua tindakan utama ialah:
1. Mengisi dan menghantar kad biru kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Kuasa Mati untuk mendapatkan ‘clearance’ melalui Borang C.
2. Mendapatkan nilaian bagi semua harta si mati. Pejabat penilaian bagi harta tak alih dan pihak berkenaan bagi harta alih. 
Kedua-dua proses di atas, paling lewat mendapat jawapan daripada Mahkamah Tinggi dan Pejabat Penilaian dalam tempoh 2 bulan. Selesai dua tugas di atas, kes sedia untuk dipanggil bicara. Bermakna Akta Pusaka Kecil bukanlah penyebab kelewatan.
SARANAN: Sepatutnya KPI boleh dikurangkan lagi kepada 4 bulan atau kurang daripada itu.                                                      

JADUAL BAYARAN FEE PUSAKA KECIL

PERMOHONAN

Fee
1) Borang A
Dimansuhkan
2) Borang P
Dimansuhkan





BAYARAN PERINTAH


FEE

1)  Perintah Pembahagian & Perintah   Kuasa Mentadbir (Seksyen 8)
      Berdasarkan Nilai Harta Pusaka:

i)              RM 1.00 – RM 1,000.00
ii)             RM 1,001.00 – RM 50,000.00
iii)            RM 50,001.00 - dan ke atas

                     Contoh -
                                      RM 100,000
                                      RM 200,000
                                      RM 300,000
                                      RM 400,000
                                      RM 500,000
                                      RM 600,000
                                      RM 700,000
                                      RM 800,000
                                      RM 900,000
                                     RM 1 juta         
                                     RM 1.5 juta
                                     RM 2 juta





RM 10.00
RM 30.00
0.2% Dari Nilai Harta Pusaka
        

RM 200
RM 400
RM 600
RM 800
RM 1,000
RM 1,200
RM 1,400
RM 1,600
RM 1,800
RM 2,000.00
RM 3,000.00
RM 4,000.00
























Tuesday, 1 November 2011

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA

(Petikan sebahagian nota ceramah Sesi 1. Seminar Pengurusan Harta Pusaka oleh Perunding W Halim)
DI MANA HARTA PUSAKA BOLEH DISELESAIKAN

Apabila berlaku kematian, timbul soalan di mana harta pusaka boleh diselesaikan?

BIDANGKUASA

Terdapat 3 undang-undang yang menetapkan cara dan peraturan pentadbiran harta pusaka di Malaysia:
  • Akta Probate dan Pentadbiran 1959 (Akta No. 97)
  • Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta No. 98)
  • Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995 (Akta No. 532)

Berdasarkan kepada undang-undang tersebut di atas, agihan bidang kuasa pembahagian harta pusaka dikendalikan oleh 3 agensi persekutuan:

1. AMANAH RAYA BERHAD (Pusaka ringkas)
Mengendalikan harta si mati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dan nilainya tidak melebihi RM 600,000.
            Contohnya: si mati hanya meninggalkan: wang simpanan di bank, BSN, ASB, Tabung Haji, kenderaan, saham, dividen dan sebagainya.
Ulasan:
Ini bermakna, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta tak alih seperti tanah, rumah teres, rumah pangsa, kondominium dan sebagainya, waris-waris hendaklah menyelesaikan harta pusaka itu di Amanah Raya Berhad.

2. PEJABAT TANAH / UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA (Pusaka kecil)
Mengendalikan harta si mati yang meninggalkan harta tak alih (tanah) sahaja atau harta tanah beserta dengan harta alih seperti duit simpanan di bank dan sebagainya dan nilainya tidak melebihi RM 2 juta dan tidak meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiat 1959 (bagi bukan Islam).
            Contohnya: si mati meninggalkan 2 bidang tanah sahaja atau meninggalkan 2 bidang tanah, kenderaan dan duit simpanan BSN.

Ulasan:
Syarat utama penyelesaian harta pusaka di unit pembahagian pusaka atau pejabat tanah ialah si mati mesti mempunyai harta tak alih walau pun harta itu sedikit.
            Selain daripada harta tak alih, si mati juga ada meninggalkan harta alih seperti kenderaan, wang simpanan di institusi kewangan,  sijil saham dan sebagainya, kesemua harta-harta ini boleh diselesaikan sekali gus di bawah Akta Pusaka Kecil iaitu di pejabat tanah atau unit pembahagian pusaka selagi jumlah nilaian kesemua harta pusaka itu tidak melebihi RM2 juta.
            Waris-waris tidak perlu menyelesaikan harta pusaka itu di dua tempat yang berasingan seperti menyelesaikan harta tak alih di pejabat tanah dan menyelesaikan harta alih di Amanah Raya Berhad. Walau pun ini boleh dilakukan dan tidak menyalahi peraturan undang-undang, tetapi ia menyusahkan waris-waris itu sendiri yang akan berurusan dengan dua agensi yang berlainan. Waris-waris akan mengisi dua jenis borang permohonan pembahagian pusaka, dikenakan dua kali bayaran, dua kali salinan potostat dokumen-dokumen perlu seperti salinan kad pengenalan waris-waris dan sebagainya.
            Syarat berikutnya, bagi pusaka bukan Islam, si mati tidak meninggalkan wasiat. Ini kerana pusaka kecil tidak mempunyai bidangkuasa menyelesaikan harta berwasiat yang dibuat di bawah Akta Wasiat 1959 walau pun nilaian harta itu hanya beberapa ribu ringgit sahaja atau kurang daripada RM2 juta.
            Ini bermakna sekiranya si mati seorang bukan Islam dan meninggalkan wasiat, harta pusakanya hendaklah diselesaikan di Mahkamah Tinggi dan tidak boleh diselesaikan di unit pembahagian pusaka atau pejabat tanah. Bagaimana pun harta pusaka bagi si mati beragama Islam yang meninggalkan wasiat, masih boleh diselesaikan di bawah Akta Pusaka Kecil.

SOALAN:
Apakah perbezaan permohonan pusaka dimajukan ke Unit Pembahagian Pusaka dengan Pejabat Tanah?
JAWAB:
Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 atau dikenali juga sebagai Akta 98 memberi kuasa kepada Pentadbir Tanah Daerah untuk menguruskan pembahagian harta pusaka kecil.
            Oleh kerana pentadbiran harta pusaka diletakkan di bawah Jadual Kesembilan, Senarai 1, Senarai Persekutuan di bawah Perkara 4 (e) (i) yang menyebut “…. Pewarisan harta berwasiat dan tidak berwasiat, probet dan surat kuasa mentadbir pusaka…” ini bermakna proses pembahagian dan pentadbiran harta pusaka terletak di bawah bidang kuasa agensi Persekutuan.
            Oleh itu pusaka kecil diletakkan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan JKPTG), seksyen pembahagian harta pusaka.
            Diperingkat negeri dan daerah, JKPTG menubuhkan unit-unit pusaka kecil yang terdiri daripada sekurang-kurangnya seorang pegawai (penolong pengarah) dan beberapa orang kakitangan.
            Akta 98 memperuntukkan bahawa permohonan pusaka kecil hendaklah di buat di daerah mana harta tak alih terletak. Ini bermakna setiap daerah akan menerima permohonan pusaka sedangkan bilangan pegawai pembahagian pusaka terhad. Oleh itu di mana terdapat unit pusaka kecil, urusan pusaka diuruskan oleh unit pembahagian pusaka manakala di daerah yang tiada unit pusaka, kerjasama pejabat tanah untuk menerima permohonan pusaka. Bagaimana pun perbicaraan harta pusaka kecil akan dijalankan oleh pegawai-pegawai daripada unit pembahagian pusaka, JKPTG yang diwartakan sebagai Pentadbir Tanah Daerah bagi daerah itu.

3. MAHKAMAH TINGGI (Pusaka besar)
Mengendalikan harta si mati yang meninggalkan sama ada harta alih sahaja yang nilainya lebih RM600,000, harta tak alih (tanah) sahaja atau beserta harta alih yang nilainya melebihi RM 2 juta atau harta berwasiat (bagi bukan Islam) walaupun nilainya kurang daripada RM 2 juta.

Apakah bidangkuasa Mahkamah Syariah Dalam Urusan Harta Pusaka?
Mahkamah Syariah bertanggungjawab dalam hal berikut:
a.         Mengeluarkan Sijil Perakuan Faraid.
            Iaitu penentuan waris yang berhak menerima pusaka dan bahagian setiap orang waris.  
           Contoh: Ahmad mati meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki,   seorang anak     
           perempuan dan seorang saudara lelaki seibu sebapa.
            Sijil faraid:         
            Waris yang berhak:
            Isteri                            - 3/24 bahagian
            Anak lelaki                 - 14/24 bahagian
            Anak perempuan      - 7/24 bahagian
            Saudara lelaki seibu sebapa terdinding oleh anak lelaki.

b.         Pengesahan Hibah.
           Sekiranya si mati meninggalkan dokumen hibah, dan terdapat bantahan  daripada                   
 waris-waris dalam masa pembahagian harta pusaka, pihak yang menuntut sebagai   
 penerima hibah hendaklah membawa kes    ke mahkamah syariah untuk diputuskan sama     
 ada hibah itu sah atau   tidak. Sekiranya mahkamah memutuskan hibah itu sah, harta itu   
 tidak perlu difaraidkan.

c.         Pengesahan Wasiat.
            Sekiranya si mati meninggalkan wasiat, dan terdapat bantahan daripada       waris-waris     
 dalam masa pembahagian harta pusaka, penerima wasiat      hendaklah membawa kes   
 ke mahkamah syariah untuk diputuskan sama ada wasiat itu sah atau tidak. Sekiranya        
 mahkamah memutuskan wasiat itu sah, waris-waris wajib melaksanakan wasiat itu.    
           Maksimum wasiat dibenarkan kadar 1/3 daripada keseluruhan harta selepas ditolak    
 belanja pengebumian dan hutang-hutang si mati, manakala selebihnya 2/3 bahagian lagi    
 difaraidkan.

d.         Pengesahan Status Perkahwinan.
            Sekiranya diragui tentang status perkahwinan seseorang itu sama ada sah atau tidak,mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskannya. Keputusan mahkamah syariah akan mempengaruhi sijil faraid sama ada isteri atau suami yang ditinggalkan itu layak  menerima pusaka  atau sebaliknya.

e.         Pengesahan Nasab.
            Apabila timbul pertelingkahan berkaitan status anak sama ada anak   kandung atau anak angkat atau sama ada seseorang yang mengaku sebagai mempunyai pertalian nasab dengan si mati itu sabit atau tidak, mahkamah syariah akan memutuskannya berdasarkan kepada  pembuktian yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang bertelingkah.

f.          Menentukan Sah Taraf Anak.
            Mahkamah syariah juga mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sama ada seseorang anak itu tidak sah tafar atau sebaliknya. Sekiranya diputuskan tidak sah taraf, anak itu akan hanya berhak mewarisi harta  pusaka ibunya sahaja dan tidak berhak mewarisi harta pusaka bapanya.

  1. Mengesahkan Sama Ada Layak Atau Tidak Mewarisi
      Apabila timbul masalah berkaitan pembunuhan, berlainan agama atau murtad, mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan seseorang itu layak mewarisi atau tidak.
                  Sebagai contoh, seorang yang didapati menyebabkan kematian   bapanya, hanya mahkamah syariah yang mempunyai bidangkuasa menentukan nasib anak itu sama ada berhak  mewarisi atau tidak.

  1. Memutuskan Tuntutan Harta Sepencarian
      Sekiranya terdapat tuntutan harta sepencarian, tuntutan ini hendaklah diselesaikan terlebih dahulu sebelum harta pusaka dibahagikan. Ini kerana keputusan Mahkamah syariah berkaitan tuntutan harta  sepencarian akan menentukan takat mana harta si mati yang akan      difaraidkan.
                  Contohnya, apabila mahkamah memutuskan isteri layak mendapat harta sepencarian sebanyak ½ bahagian daripada harta si mati, bermakna hanya ½ bahagian sahaja milik si mati yang akan difaraidkan.

Kesimpulan:
Berdasarkan kepada pembahagian bidangkuasa di atas, sewajarnya diketahui apabila berlaku kematian, institusi mana yang harus dituju untuk menyelesaikan harta pusaka tersebut. Bagi kebanyakan harta pusaka dalam masyarakat hari ini, tergolong dalam kategori Pusaka Kecil. Oleh itu penyelesaiannya harus dibuat di Unit Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian atau di pejabat tanah.

Sekian sebahagian info untuk anda yang mengikuti blog ini.

Terima kasih.

Sunday, 23 October 2011

KISAH DALAM KAMAR PUSAKA


KES 1

Si mati meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. Mengikut hukum faraid, isteri mendapat 1/8 bahagian dan anak-anak mendapat baki (Asabah Bil-Ghairi).

Ketika di dalam kamar perbicaraan harta pusaka, isteri dan anak-anak si mati kelihatan seperti biasa, seperti waris-waris yang lain juga. Soalan bermula dengan profile si mati, harta yang ditinggalkan dan kedudukan waris si mati.

Di akhir perbicaraan, waris-waris ditanya tentang cara pembahagian yang dikehendakki.  Isteri si mati mencadangkan, “Saya pohon tanah pusaka ini dibahagi mengikut hukum faraid. Saya mahu bahagian saya 1/8 bahagian, selebihnya dibahagikan kepada anak-anak saya”.

Tanpa disangka, salah seorang daripada anak perempuannya mencelah, “Mak, kalau boleh mak tak usahlah ambil bahagian mak tu. Mak tolaklah (serahkan) kepada kita semua ni. Kalau mak ambil, susah kemudian hari. Kalau mak mati, susah pulak kita kena datang ke pejabat buat pusaka mak”.

Si ibu tersentak. Dari air mukanya saya dapat bayangkan apa yang difikirkan oleh ibu itu. Si ibu tunduk dan merenong jauh. Sebelum sempat ibu berkata-kata, anak perempuan tadi menyambung lagi, “Kalau boleh semua tanah-tanah atas nama mak, mak tukar nama kepada kita semua. Baru senang kemudian hari. Kalau mak mati, kita tak payah datang ke pejabat buat pusaka mak”.

Ibu mereka diam tidak berkata apa-apa. Tiba-tiba seorang anak yang lain pula menambah, “Kalau mak nak ambil bahagian mak, tak apa. Mak boleh ambil, tetapi dengan satu syarat,  mak tak boleh kahwin lain”.

Saya percaya saudara semua faham mengapa anak tidak benarkan ibu mereka berkahwin lain. Saya tidak tahu bagaimana perasaan si ibu ketika itu. Tetapi dari air mukanya saya dapat bayangkan. Suasana dalam kamar pusaka di kala itu sungguh muram.
Siapakah anak-anak ini?

Takdir tuhan tiada siapa yang tahu. Hidup mati di tangan tuhan yang menentukan. Kabarnya, dua bulan selepas itu si anak yang mati dahulu kemalangan jalan raya. Wallahuaklam.

KES 2

Si mati meninggalkan suami dan 10 orang anak lelaki dan perempuan. Harta peninggalan hanya sebidang tanah tapak rumah dan sebuah rumah kampung. Mengikut hukum faraid, suami si mati mendapat ¼ bahagian dan anak-anak mendapat baki (Asabah Bil-Ghairi).

Semasa dalam kamar perbicaraan harta pusaka, apabila ditanya kepada ayah (suami si mati) bagaimana harta tersebut hendak dibahagikan kepada 11 orang waris, si bapa menjawab, “Tanah dan rumah ini kami semua bersetuju menyerahkannya kepada anak bungsu dengan bayaran harga sebanyak RM13,000”.
“Duit RM13,000 tu nak bahagi macamana?”. Jawab bapa, “Duit ini anak-anak serahkan kepada saya seorang”.

Apabila ditanya kepada anak-anak, mereka ingin tahu berapa bahagian masing-masing sekiranya dibahagi mengikut hukum faraid. Setelah dibuat pengiraan,  tiap seorang anak lelaki akan mendapat hampir RM2,000 dan anak perempuan akan mendapat hampir RM1,000.

Anak sulung memberi keterangan, “Kami telah bermuafakat dan bersetuju kesemua bahagian kami, kesemua duit ini kami serahkan kepada ayah kami”.

Saya tanyakan si ayah, “Nak buat apa dengan duit tu?”. Ayah hanya senyum sahaja tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba salah seorang daripada anak perempuan mencelah, “Kita nak suruh ayah kahwin lain. Kalau ayah kahwin lain senang, makan minum, sakit demam ada orang jaga. Ayah tak sunyi sangat”.

Si ayah kelihatan tenang sahaja. Ketika mengambil kad pengenalannya untuk dimasukkan ke dalam dompetnya, nampak tangannya sedikit gementar. Salah seorang anak perempuan lantas mengusik, “Ayah, kalau macam ni, mampu ke ayah nak kahwin?”. Mereka gelak bersama. Suasana dalam kamar pusaka di kala itu sungguh ceria sekali.
Siapakah anak-anak ini?

Jadikan harta pusaka pemangkin kebahagian keluarga.

Sama-sama kita renungkan.

Sunday, 16 October 2011

KHIDMAT PERUNDINGAN: 1. Waris mati dahulu tiada hak mewarisi. 2. Zakat harta pusaka yang disimpan tanggungjawab waris. 3. Pengiraan.

Ibu saya telah meninggal dunia 6 tahun yang lalu, iaitu pada bulan Jun tahun 2006. Ibu meninggalkan barang kemas. Barang kemas itu tidak dibahagikan kepada waris-waris, sebaliknya telah disimpan oleh kakak sehinggalah beberapa hari yang lalu, kakak telah menjual barang kemas itu dan duit hasil jualan barang kemas itu kakak mahu bahagikan kepada waris-waris sebagai harta pusaka. Duit hasil jualan barang kemas berjumlah RM21,000.
Ibu meninggalkan seorang suami dan mempunyai 10 orang anak, 6 lelaki dan 4 perempuan. Tetapi seorang anak perempuan iaitu kakak saya nombor dua telah mati dahulu 4 bulan daripada ibu saya. Dua tahun lepas ayah telah berkahwin lain dan adik bongsu tinggal dengan abang sulung.

Soalan saya:
  1. Siapakah waris yang berhak ke atas duit hasil jualan barang kemas itu?. Adakah kakak yang mati dahulu atau anak-anak kakak berhak menerima pusaka?. Adakah ayah juga berhak menerima pusaka ibu kerana ayah telah berkahwin lain? 
  2. Saya difahamkan sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris-waris, waris-waris bertanggungjawab mengeluarkan zakat terlebih dahulu? Benarkah begitu?
  3. Saya pohon ustaz kirakan bahagian masing-masing mengikut hukum faraid.

Harap mendapat jawapan daripada ustaz.
Terima kasih.
Wassalam.

Jawapan:
  1. Waris yang berhak ke atas harta pusaka ibu anda ialah suami dan 9 orang anak. 6 lelaki dan 3 perempuan.
    1. Kakak yang mati dahulu tidak berhak mendapat pusaka begitu juga anak-anaknya. Ini kerana mengikut syarat seseorang itu berhak menerima pusaka ibunya ialah  anak itu hidup ketika ibunya meninggal dunia. Oleh kerana kakak mati dahulu daripada ibu, kakak tidak berhak menerima harta ibu.
    2. Ayah anda adalah suami kepada si mati. Suami yang bercerai mati berhak mewarisi harta pusaka isterinya. Sama ada suami itu telah berkahwin lain atau tidak, itu tidak menjadi persoalan, atau dengan lain perkataan tidak menjadi penghalang kepada suami untuk mewarisi harta pusaka isterinya. Lagi pun apabila seseorang itu meninggal dunia, secara otomatik harta itu menjadi harta pusaka dan sepatutnya difaraidkan seberapa segera yang mungkin. Suami berhak menerima pusaka isterinya walaupun suami tersebut berkahwin semula beberapa hari selepas kematian suaminya. Perlu saya tegaskan di sini, suami berkahwin lain tidak ada kena mengena dengan hukum pewarisan.
  2. Zakat wajib dijelaskan terlebih dahulu sebelum harta pusaka difaraidkan sekiranya pada masa hayatnya si mati yang sepatutnya wajib mengeluarkan zakat telah tidak membayar zakat sama ada dengan sengaja tidak membayarnya atau tidak sempat membayar zakat yang diwajibkan ke atasnya. Ketika itu, waris-waris wajib membayar zakat dengan mengambil sebahagian daripada harta si mati kerana itu adalah hutang si mati kepada Allah.

Dalam kes ini, barang kemas adalah pakaian si mati semasa hayatnya dan tidak perlu dikeluarkan zakat. Ini bermakna si mati pada masa hayatnya tidak wajib ke atasnya membayar zakat emas. Apabila berlaku kematian, barang kemas itu bukan lagi kepunyaan si mati, tetapi ia adalah kepunyaan waris yang berhak. Tindakan menyimpan barang kemas begitu lama merupakan satu kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku. Barang kemas itu sebenarnya kepunyaan suami dan anak-anak si mati. Menyimpan barang itu bermakna menyimpan barang kepunyaan suami dan anak-anak si mati dan bukannya menyimpan barang kepunyaan si mati.

Sama ada dikenakan zakat atau tidak, perlu dilihat kepada bahagian bagi setiap orang yang mewarisi setelah cukup haul dan cukup nisabnya. Sebagai contoh daripada RM21,000 itu suami berhak 1/4 bahagian. Bermakna suami akan mendapat sebanyak RM5250.00.  RM21,000 adalah nilaian semasa pada tahun 2011.

Bahagian suami akan dikenakan zakat dikira bermula cukup haul satu tahun hijrah selepas kematian isterinya iaitu pada tahun 2007. Itu pun sekiranya cukup nisab pada tahun itu. Saya difahamkan nisab emas pada tahun 2007 ialah lebih kurang RM6,000. Bahagian suami yang disimpan ketika itu mungkin sekitar RM3,000 sahaja dan begitulah seterusnya nisab bertambah dari tahun ke tahun seiring dengan kenaikan harga emas. Pada tahun ini, nisab emas lebih kurang RM11,000 (Nisab berubah-ubah mengikut harga emas semasa. Sila rujuk di bahagian zakat, Jabatan Agama negeri).

Kesimpulannya tiada zakat yang dikenakan ke atas barang kemas yang disimpan itu.

  1. Bahagian setiap orang waris mengikut hukum faraid adalah seperti berikut:


4
20
RM21,000.00
suami
1/4
1
5
RM5,250.00
Anak lelaki 1
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 2
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 3
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 4
Asabah

2
RM2,100.00
Anak lelaki 5
Asabah
3
2
RM2,100.00
Anak lelaki 6
Asabah

2
RM2,100.00
Anak perempuan 1
Asabah

1
RM1,050.00
Anak perempuan 2
Asabah

1
RM1,050.00
Anak perempuan 3
Asabah

1
RM1,050.00

Wallahu'aklam.

Saturday, 8 October 2011

AMBIL TAHU SIAPAKAH WARIS BERHAK MEWARISI UNTUK ELAK KEKELIRUAN



Apabila berlaku kematian, secara automatik harta si mati berpindah kepada waris-waris yang ditinggalkan. Persoalannya, siapakah waris yang berhak mewarisi harta pusaka itu?

Untuk mengetahuinya pelajarilah ilmu faraid. Perunding W Halim bersedia membimbing anda. Berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang dipelajari akan membolehkan seseorang itu mengetahui siapakah yang berhak mewarisi. Bagaimana pun cara mudah untuk mengetahui waris yang berhak ialah dapatkan maklumat yang betul daripada orang yang benar-benar mahir dalam bidang ilmu Faraid.

Mengetahui waris yang berhak mewarisi harta pusaka boleh membantu waris-waris menyelesaikan beberapa masalah, antaranya:
  1. Hanya waris yang berhak sahaja yang akan mengurus dan membincangkan pembahagian harta. Campur tangan orang luar seperti ipar, menantu, jiran atau rakan-rakan yang tidak diundang boleh menimbulkan salah faham, ketidak puasan hati dalam kalangan waris yang akhirnya akan menimbulkan pertelingkahan. Bagaimana pun, mereka boleh membantu sekiranya diperlukan oleh waris-waris.
  2. Bagi memastikan waris-waris yang berhak tidak dipinggirkan.
  3. Mengelakkan rasa kecewa dan malu dalam ahli keluarga akibat kejahilan hukum faraid kerana menyangka beliau berhak mendapat pusaka sedangkan mengikut hukum faraid, sebenarnya beliau tidak berhak.
Satu kes telah dilaporkan seperti berikut:

Si mati bernama Rafeah telah meninggal dunia pada tahun Disember 2010. Rafeah tidak meninggalkan ibu bapa (mereka mati dahulu).Suami bernama Saad juga mati dahulu pada tahun 2000.Pada masa kematiannya, Rafeah meninggalkan tiga orang anak, satu lelaki dan dua perempuan iaitu, Basir, Salbiah dan Basirah.
Harta pusaka yang ditinggalkan  ialah wang tunai berjumlah RM250,000.00

Sebelum sempat harta pusaka Rafeah dibahagikan, Basir telah meninggal dunia iaitu pada Januari 2011. Isteri Basir mati dahulu dan Basir meninggalkan hanya tiga orang anak perempuan. Basir juga meninggalkan dua orang bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa bernama Ali dan Abu (adik beradik seibu sebapa dengan Saad, bapa Basir ).

Persoalan timbul siapakah yang akan mewarisi harta pusaka Rafeah? Tiga orang anak Basir semuanya perempuan, pada pendapat umum mereka tidak boleh mewarisi kesemua  harta pusaka Basir. Oleh kerana bapa saudara dikatakan lebih berhak untuk menghabiskan harta pusaka itu kerana mereka berdua lelaki, maka pengesahan perlu dibuat bagi memastikan waris lelaki itu benar-benar berhak.

Bagi memberi gambaran lebih jelas kedudukan waris si mati, rajah di bawah boleh membantu anda:


Soalan 1: Siapakah yang berhak ke atas harta pusaka Rafeah?
Jawapan:
Penentuan waris berhak: hanya 3 orang anak. 1 lelaki dan 2 perempuan.
Penentuan bahagian: seperti rajah di bawah:


4
RM250,000.00
BASIR
2
RM125,000.00
SALBIAH
1
RM  62,000.00
BASIRAH
1
RM  62,000.00

Sebelum sempat pembahagian di atas dibuat, Basir telah meninggal dunia.
Soalan 2 : Siapakah yang berhak ke atas harta pusaka Basir?
Jawapan:
Penentuan waris berhak:
  1. Tiga anak perempuan
  2. Dua saudara seibu sebapa perempuan
  3. Dua bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa

Berdasarkan kaedah pembahagian:
  1. Tiga anak perempuan sebagai waris utama berhak mewarisi secara fardu sebanyak 2/3 bahagian. Harta pusaka masih berbaki 1/3 bahagian.
  2. Waris ganti keturunan ke atas seperti datuk dan nenek dan keturunan ke bawah seperti cucu tidak ada. Oleh itu berpindah kepada waris kedua yang lebih hampir iaitu adik beradik si mati. Mengikut kaedah pembahagian, dua saudara seibu sebapa perempuan ketika bersama dengan anak perempuan, berhak mewarisi secara asabah ma’al ghairi. Iaitu adik beradik perempuan akan menerima baki sebanyak 1/3 bahagian. Bermakna harta pusaka telah dapat dihabiskan oleh lima orang waris perempuan, iaitu 3 anak perempuan dan 2 adik beradik perempuan.
  3. Oleh kerana adik beradik perempuan telah mewarisi secara asabah dan menghabiskan harta pusaka, dua bapa saudara sebelah bapa terdinding atau mahjub (gugur) dan tidak mewarisi apa-apa.
Penentuan bahagian: seperti rajah di bawah:


3
18
RM125,000.00
LATIFAH

4
RM  27,777.78
SAUDAH
          2/3
2
4
RM  27,777.78
ZAWIAH


4
RM  27,777.78
SALBIAH
         Asabah
1
3
RM  20,833.33
BASIRAH


3
RM  20,833.33
ALI
         Gugur   
0
0
0
ABU


0
0
 
Keputusan: Abu dan Ali tidak mendapat apa-apa walaupun mereka berdua waris lelaki.

Apabila dilakukan pengiraan bagi kematian berlapis secara sekali gus mengikut kaedah pengiraan MUNASAKHAT, pembahagian seperti rajah di bawah:

Kesimpulan:
    1. Dengan mengetahui waris yang berhak dan bahagian masing-masing, membolehkan waris-waris membuat pembahagian dengan adil dan dapat mengelakkan sebarang rasa tidak puashati. Mengapa Salbiah dan Basirah mendapat bahagian yang banyak ada jawapannya. Mereka mendapat dua kali iaitu pertama, sebagai anak kepada Rafeah dan kedua, sebagai adik beradik kepada Basir.
    2. Ali dan Abu hendaklah akur dengan hukum faraid dan jangan tergesa-gesa mencanang bahawa mereka berhak kerana mereka waris lelaki.
    3. Ambil tahu siapakah waris yang berhak agar harta pusaka dapat diagihkan kepada mereka yang sebenarnya berhak.