Saturday, 12 January 2013


BAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN WUJUD SETELAH TUNTUTAN DISAHKAN

Ramai beranggapan, sekiranya sesuatu harta itu diperolehi dalam masa perkahwinan, pasangan berhak mendapat bahagian harta sepencarian secara otomatik, sekiranya salah seorang daripada pasangan  suami isteri itu meninggal dunia dan harta itu didaftarkan dengan nama simati.

Contohnya, Sidiq dan Sabariah telah berkahwin pada tahun 2000. Setelah lima tahun hidup sebagai suami isteri, pada tahun 2005 mereka telah membeli sebuah rumah kediaman dan didaftarkan denagn nama Sidiq seorang sahaja. Ditakdirkan lima tahun selepas itu, iaitu pada tahun 2010, Sidiq telah meninggal dunia.

Lalu ramai kalangan kawan-kawan dan jiran tetangga yang memberi pandangan bahawa Sabariah ‘layak mendapat’ bahagian faraid dan ‘layak’ juga mendapat bahagian harta sepencarian kerana harta itu diperolehi dalam masa perkahwinan. Oleh itu ‘hendaklah’ diberikan kepada Sabariah bahagian faraid setelah diberikan kepadanya bahagian harta sepencarian.

PERBEZAAN BAHAGIAN FARAID DAN BAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN

Bahagian faraid:
Bahagian faraid bermakna bahagian yang telah ditetapkan kepada isteri si mati mengikut formula faraid. Bahagian ini diperolehi oleh isteri si mati secara otomatik, iaitu wajib diberikan kepadanya. Mengikut formula faraid, sekiranya Sidiq mempunyai keturunan ke bawah seperti anak atau cucu, Sabariah mendapat 1/8 bahagian daripada harta pusaka Sidiq. Sekiranya Sidiq tidak mempunyai keturunan ke bawah, Sabariah layak mendapat 1/4 bahagian daripada harta pusaka suaminya.

Bahagian harta sepencarian:
Bahagian harta sepencarian ialah bahagian yang dibenarkan oleh syarak  sekiranya  dituntut oleh pasangan ke atas harta pusaka si mati dengan syarat-syarat tertentu.

Bahagian harta sepencarian tidak wujud secara otomatik seperti mana bahagian faraid, tetapi ianya wujud sekiranya ada tuntutan. Misalnya, sebelum atau ketika membincangkan pembahagian harta pusaka Sidiq, Sabariah ingin menuntut bahagian harta sepencarian ke atas rumah kediaman yang dibeli pada tahun 2005 itu. Apabila ada tuntutan, barulah timbul persoalan berkaitan harta sepencarian dan tuntutan ini perlu dibincangkan oleh waris-waris. Walau pun Sabariah menuntut harta sepencarian, bahagian itu tidak boleh diberikan terus kepadanya seperti mana bahagian faraid, kecuali setelah melalui beberapa proses.

PROSES TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN:

Sekiranya Sabariah menuntut bahagian harta sepencarian ke atas rumah itu, Sabariah hendaklah mengambil langkah-langkah seperti berikut:

1.       Nyatakan tuntutan itu kepada semua waris yang berhak ke atas harta pusaka Sidiq. Sekiranya Sidiq meninggalkan waris-waris seperti berikut selain daripada Sabariah, iaitu; ibu,bapa dan lima orang anak, dua lelaki dan tiga perempuan, Sabariah hendaklah menyatakan hasratnya kepada kesemua tujuh orang waris itu.
2.       Sekiranya mereka sebulat suara mengesahkan dan bersetuju dengan tuntutan Sabariah, langkah seterusnya adakan perbincangan untuk tentukan kadar bahagian yang akan diberikan kepada Sabariah sama ada 1/2, 1/3, 1/4 atau apa sahaja persetujuan yang dicapai. Sebagai contoh, semua bersetuju memberikan 1/2 bahagian kepada Sabariah sebagai harta sepencarian. Dengan persetujuan ini bermakna Sabariah ‘layak’ mendapat 1/2 bahagian daripada rumah itu, manakala 1/2 bahagian lagi menjadi harta pusaka untuk difaraidkan. Bahagian faraid masih lagi ada untuk Sabariah sebanyak 1/8 bahagian daripada harta pusaka Sidiq (1/8 daripada ½).
Pembahagian akan menjadi seperti berikut:


2

24
168
336
Sabariah
1/2
1



168
Sabariah


1/8
3
21
21
Ibu


1/6
4
28
28
Bapa


1/6
4
28
28
Anak L


A
A
26
26
Anak L
1/2
1
A
A
26
26
Anak P


A
A
13
13
Anak P


A
A
13
13
Anak P


A
A
13
13

Sabariah mendapat 168/336 bahagian harta sepencarian dan mendapat pula sebanyak 21/336 bahagian faraid. Jumlah bahagian Sabariah sebanyak 189/336 bahagian daripada rumah pusaka itu.
3.       Kadar bahagian harta sepencarian tertakluk kepada persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu pihak yang menuntut (Sabariah) dan pihak waris yang kena tuntut (ibu, bapa dan anak-anak). Ada kes di mana persetujuan dicapai seperti berikut: ½ bahagian diberikan kepada isteri manakala ½  bahagian lagi diberikan kepada waris-waris lain. ½ bahagian isteri itu termasuk bahagian faraid dan bahagian harta sepencarian.
Pembahagian akan menjadi seperti berikut:


24
168
147
294
Sabariah
1/2



147
Sabariah

3
21

0
Ibu

4
28
28
28
Bapa

4
28
28
28
Anak L

A
26
26
26
Anak L
1/2
A
26
26
26
Anak P

A
13
13
13
Anak P

A
13
13
13
Anak P

A
13
13
13

Formula pengiraan tertakluk kepada kaedah ‘Pengiraan Takharuj’.

4.       Sekiranya semua atau sebahagian daripada waris-waris tidak bersetuju dengan tuntutan harta sepencarian yang dikemukakan oleh Sabariah, pembahagian harta pusaka Sidiq menjadi lebih sukar kerana Sabariah hendaklah mengambil tindakan selanjutnya iaitu mengemukakan tuntutan harta sepencarian itu kepada mahkamah syariah. Mahkamah syariah seterusnya akan memanggil perbicaraan dan memutuskan dua perkara pokok iaitu:
a.       Mengesahkan sama ada Sabariah layak mendapat bahagian harta sepencarian.
b.   Sekiranya layak, mahkamah akan tentukan kadar bahagian harta sepencarian yang akan diberikan kepada Sabariah berdasarkan kepada ‘sumbangan’ Sabariah terhadap perolehan harta itu.

KESIMPULAN:
Harta sepencarian wujud setelah ada tuntutan oleh pasangan si mati. Sebaik-baiknya penyelesaian terhadap tuntutan harta sepencarian diselesaikan di kalangan waris-waris kerana ianya melambangkan persepakatan dan tolak ansur waris dalam penyelesaian harta pusaka. Dengan persetujuan itu dapat menjimatkan masa dan wang ringgit. Sekiranya tiada persefahaman dan tolak ansur, tuntutan akan dibicarakan di mahkamah yang sudah tentu akan melibatkan wang ringgit, masa dan sebagainya.

Oleh itu bincangkan pembahagian harta pusaka sebaik mungkin demi untuk faedah bersama.

Wallahuaklam.





Friday, 21 December 2012


MENGAPA SAYA DIKEHENDAKKI HADIR?

Selesai makan tengahari, tiba-tiba Sabariah mengadu sesak nafas. Kasim memapah Sabariah dan membaringkannya di atas tilam. Begitu mudah Sabariah menghembuskan nafas terakhir. Kasim baru dua minggu berkahwin dengan Sabariah, seorang janda beranak tiga.

Tiga bulan selepas kematian, anak sulung Sabariah telah membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka ibunya di Pejabat Pembahagian Harta Pusaka Kecil. Senarai waris yang dimasukkan dalam permohonan hanya tiga orang anak-anak sahaja. Suami (Kasim) tidak disenaraikan atas kehendak Kasim sendiri dengan harapan dia tidak dipanggil ke pejabat dalam urusan pembahagian harta pusaka Sabariah.

Pada hari perbicraan, saya selaku Pegawai Pembahagian Harta Pusaka, membuat siasatan waris bagi menentukan waris yang layak mewarisi harta pusaka Sabariah. Kedudukan waris Sabariah adalah seperti berikut:
1.       Sabariah tidak meninggalkan ibu bapa dan semua keturunan ke atas telah mati dahulu.
2.       Sabariah telah berkahwin dua kali.
a.       Pertama               : Ahmad bin Abu. Mati dahulu.
b.      Kedua                 : Kasim bin Ahmad, bercerai mati dan masih hidup.
3.       Sabariah meninggalkan tiga orang anak dengan suami pertama, kesemuanya lelaki iaitu: Osman, Selamat dan Zailani.
Kesimpulannya, waris yang layak bagi harta pusaka Sabariah ialah, suami (Kasim) dan tiga orang anak lelakinya (Osman, Selamat dan Zailani).

Perbicaraan ditangguhkan kerana Kasim diperlukan hadir untuk memberi keterangan bagi menentukan bahagiannya.

Pada hari yang ditetapkan, Kasim hadir bersama tiga orang anak-anak tirinya. Sebelum sempat duduk, Kasim dengan suara agak keras berkata, “Mengapa panggil saya ke pejabat?. Saya tak ada kena mengena dengan harta pusaka ini. Harta ini ‘bukan dalam saya’. Ini harta Sabariah dapat daripada harta pusaka suaminya yang terdahulu”.

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan oleh Kasim “Harta ini bukan dalam saya”.

Jawab:

Maksudnya harta Sabariah yang nak difaraidkan itu bukan diperolehi ketika dalam perkahwinannya dengan Sabariah. Harta itu Sabariah dapat daripada pusaka bekas suaminya, Ahmad. Oleh itu Kasim berpendapat, beliau tidak berhak ke atas harta pusaka Sabariah dan sepatutnya beliau tidak dipanggil ke pejabat.

Pendapat Kasim tidak tepat. Apabila seseorang itu meninggal dunia kesemua harta miliknya menjadi harta pusaka dan mesti difaraidkan tanpa mengambil kira bagaimana harta itu diperolehi. Sama ada melalui pembelian, mendapat hibah atau hadiah, sumber daripada gaji dan elaun, hasil perniagaan,  mendapat wasiat, mendapat pusaka daripada ibu bapa, suami dan sebagainya asalkan harta itu diperolehi secara halal. Oleh itu Kasim berhak mewarisi harta pusaka isterinya, Sabariah. Sebab itulah beliau dikehendakki hadir ke pejabat. (Dalam kes ini, Sabariah meninggalkan empat ekar tanah iaitu pusaka arwah suami pertamanya, Ahmad).

Soalan:

Adakah Kasim layak mewarisi harta pusaka Sabariah walau pun beliau baru dua minggu  berkahwin?.

Jawab:

Tempoh perkahwinan bukanlah ukuran bagi kelayakan seseorang itu mewarisi harta pusaka pasangannya. Suami atau isteri layak mewarisi harta pusaka pasangannya sebaik sahaja majlis ijab dan qabul disempurnakan. Walau pun baru dua minggu Kasim menjadi suami kepada Sabariah, Kasim layak menerima harta pusaka isterinya asalkan perkahwinan itu sah mengikut hukum syarak.

Setelah faham dengan penjelasan yang diberi, Kasim  bertanya dengan nada lemah lembut, “kalau saya berhak, berapakah bahagian saya”?.

“Bahagian kamu adalah sebanyak 1/4 bahagian daripada harta pusaka Sabariah kerana Sabariah ada meninggalkan tiga orang anak. Ini bermakna kamu mendapat satu ekar tanah”.
“Wah! Banyaknya, nasib baik tuan panggil saya ke pejabat. Kalau tidak rugilah saya!. Terima kasih, terima kasih  tuan kerana panggil saya ke pejabat. Saya mahu bahagian saya”.

PEMBAHAGIAN MENGIKUT HUKUM FARAID


4
4 EKAR
KASIM
1/4
1
1 ekar
OSMAN
Asabah
1
1 ekar
SELAMAT
Asabah
1
1 ekar
ZAILANI
Asabah
1
1 ekar